Meskipun jualan direkodkan empat tahun lalu tidak tinggi, namun ia tidak membuatkan platform e-dagang Malaysia khusus dalam jualan snek yang sihat secara langsung kepada pengguna, Signature Market berputus asa.

Dengan melaksanakan inisiatif untuk terus melabur di dalam pembungkusan yang menarik dan idea pemasaran kreatif, Signature Market kini mempunyai 120,000 pelanggan berdaftar.

Bermula dengan membakar kacang hanya di rumah, syarikat itu kini mampu memiliki dua mesin pembakar teknologi tinggi menawarkan mod slow bake yang boleh mengekalkan nutrisi kekacang berkenaan.

Kebanyakan snek kudapan yang mengandungi monosodium glutamate (MSG) dan tinggi kandungan lemak, garam juga gula merupakan pesaing utama ketika Pengasas Signature Market, Edwin Wang memulakan perniagaan.

Wang berkata, kini, permintaan terhadap makanan berkhasiat, organik semakin mendapat permintaan memperlihatkan peningkatan kesedaran akan gaya hidup sihat.

“Ia seiring dengan permintaan terhadap produk semula jadi dan organik di Asia yang mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) sebanyak 28.5 peratus.

“Saya yakin dengan jumlah itu, ia menggambarkan peluang tinggi di Malaysia. Kami menyasarkan untuk merekodkan sebanyak 300,000 pelanggan berdaftar pada 2019,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Beliau sebelum ini yang bekerja sebagai pengatur cara kompu­ter membangunkan jenama itu bersama seorang lagi Pengasas Signature Market, John Cheng.

Signature Market mengimport bahan mentah dari luar negara seperti pistachio dari Vietnam dan buah aprikot dari Turki.

Syarikat itu buat masa ini menawarkan 350 jenis produk meliputi segmen rempah, granola, kacang, beras, mi, kopi juga serbuk teh serta merancang untuk mempunyai sehingga 1,000 produk.

Awal Januari lalu, Signature Market berjaya meraih pelaburan bernilai RM4 juta menerusi pusingan pengumpulan dana Siri A Signature Market.

Antara pelabur yang me­nyedari potensi perniagaan itu adalah firma pelaburan, RHL Ventures dan Axiata Digital Innovation Fund.

Signature Market merancang untuk menggunakan wang pelaburan itu bagi mengukuhkan operasi di dalam negara di sam­ping meneroka peluang di Thailand.

Sementara itu RHL Ventures berkata, penggunaan teknologi oleh Signature Market mewujudkan cara baharu dan inovatif untuk menjadikan produk makanan sihat dapat diakses dan berpatutan.

Jelasnya, teknologi juga membolehkan platform tersebut mencapai kumpulan pengguna yang lebih luas dan mengumpul data untuk membangunkan strategi dalam pasaran.