Penyenaraian FGV secara dasarnya untuk membuktikan sebuah syarikat yang diuruskan oleh institusi yang dibangunkan untuk membantu penduduk luar bandar menikmati kehidupan lebih baik, Felda sebagai satu tanda kejayaan orang Melayu.

Namun, yang berlaku sebaliknya. Kerusi utama FGV kini masih kosong setelah anak pene­roka sebelum ini, Datuk Zakaria Arshad mengosongkan jawatan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan sejak September lalu.

FGV kini diterajui Datuk Wira Azhar Abdul Hamid sebagai CEO Interim dan juga Pengerusi. Beliau akan mengosongkan jawatan tersebut pada akhir Januari depan setelah FGV memutuskan menyenarai pendek dua calon untuk mengisi kekosongan ber­ke­naan.

Kerugian

Pada ketika syarikat sedang berdepan situasi mencabar de­ngan kerugian bersihnya hampir RM1 bilion pada suku ketiga berakhir September 2018, adalah penting bagi FGV memilih calon-calon yang mempunyai kredibili­ti dan bertanggungjawab.

Sejujurnya, calon yang layak menerajui syarikat ini harus memahami bahawa di sebalik me­gahnya FGV sebagai pengeluar minyak sawit terbesar dunia, ia adalah sebahagian daripada ke­ringat peneroka Felda yang juga merupakan pemegang sahamnya.

FGV mencatat kerugian sebelum zakat dan cukai (LBZT) sebanyak RM911 juta untuk suku ketiga berakhir September 2018. Kerugian ini termasuk rosot nilai berjumlah RM788 juta. Daripada jumlah itu, Asian Plantation Ltd. menyumbang 65 peratus daripada jumlah rosot nilai kumpulan iaitu sebanyak RM513 juta.

Jika tidak termasuk rosot nilai ini, LBZT adalah sebanyak RM123 juta, berbanding untung sebelum zakat dan cukai seba­nyak RM118 juta yang dicatatkan pada suku sama tahun lalu.

Sebelum ini, terdapat khabar angin yang mengatakan FGV akan dinyahsenarai melalui penyusunan semula syarikat itu memandangkan kerugian yang ditanggung memberi kesan kepada Felda, yang memiliki 21.25 peratus kepentingan.

Buang pekerja

Utusan Malaysia juga difahamkan, tekanan kewangan yang dihadapi syarikat tersebut akan menyaksikan pembuangan pekerja mulai Januari ini sehingga 50 peratus yang akan dibuat secara berperingkat.

Setakat ini, FGV memiliki 19,000 tenaga kerja dengan 30 peratus daripadanya adalah anak peneroka Felda.

Sebelum ini, FGV mempunyai perancangan untuk melaksanakan skim pemisahan bersama (MSS) tahun ini, tetapi ia senyap begitu sahaja.

Adakah langkah ini wajar dilakukan ketika ini sebagai sebahagian daripada langkah-langkah untuk memulihkan semula kedudukan kewangan syarikat? Baik Felda mahupun FGV, ke­dua-duanya ibarat cubit paha kanan, paha kiri akan terasa.

Calon

Individu yang dilantik mene­rajui FGV selepas ini, pastinya mempunyai tanggungjawab berat, bukan sahaja memulihkan kewangan FGV tetapi mencari kaedah terbaik memelihara kese­jahteraan peneroka. Dalam erti kata lain perlu memahami hati nurani warga peneroka dan Felda.

Malah, beliau juga perlu ‘membersihkan’ FGV. Bolehkah beliau pikul amanah ini?

Ini kerana FGV bukan seperti syarikat milik kerajaan (GLC) atau syarikat tersenarai lain. Syarikat ini unik kerana ia turut ‘dimiliki’ oleh orang Felda.

Harga saham

Bagaimanapun, semua pihak kini menanti-nantikan pembentangan Kertas Putih Felda pada 10 Disember ini bagi menjawab semua persoalan tersebut.

Jadi, sejauh mana pengurusan sedia ada dan baharu mampu membawa kebaikan kepada keluarga besar FGV ini, apatah lagi sahammnya semakin hari semakin jatuh dan hanya berlegar di bawah 80 sen sesaham.

Saham FGV yang ditutup semalam naik satu sen kepada 78.5 sen sesaham dengan pasaran modal RM2.78 bilion. Ketika disenaraikan pada 28 Jun 2012, FGV merupakan penyenaraian kedua terbesar di dunia selepas Facebook dengan ketika itu, harga pasaran FGV adalah RM4.45 sesaham.