Projek dikenali sebagai Artis Kesenian Tuyang itu berhasrat membangunkan modul latihan bagi melengkapkan masyarakat Orang Ulu dengan alat untuk mempraktik dan mempromosikan aspek luas warisan budaya mereka daripada muzik sehingga kraftangan.

TTI bukan sahaja mempopularkan budaya dan warisan Orang Ulu tetapi diharap dapat membuka lebih banyak peluang ekonomi serta pekerjaan kepada kaum itu termasuk para artis keseniannya yang berpengalaman.

Pengasas TTI, Juvita Tatan Wan berkata, melalui kerjasama rapat dengan pakar industri dari seluruh rantau ini, pihaknya berharap dapat membina program yang kuat dan dinamik dalam bidang kraf serta seni persembahan untuk memenuhi matlamat dan visi kolektif komuniti Orang Ulu.

“Projek ini mestilah inklusif dan memenuhi keperluan para pemimpin seni dan pengamalnya untuk memperoleh kesan jangka panjang serta berskala yang memberi makna kepada masyarakat dan warisan budaya kami.

“Kami (Orang Ulu) berbangga dan berterima kasih dipilih sebagai penerima Geran Pembangunan Lestari Shell 2018.

“Geram ini akan membantu kami untuk melaksanakan langkah yang perlu bagi mewujudkan peluang pendapatan alternatif yang mampan melalui warisan budaya, malah turut akan membawa kepada pembangunan dan pemeliharaan tradisi, seni dan budaya kami,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Shell Sabah, Prithipal Singh memberitahu, Geran Pembangunan Lestari Shell diperkenalkan pada 2008 dan sejak itu, ia telah mengeluarkan hampir RM4 juta kepada 96 projek yang berlainan di seluruh negara.

Pada asasnya, ujar beliau, geran terbabit berfungsi sebagai pemangkin untuk melancarkan projek pembangunan lestari yang dilaksanakan oleh badan bukan kerajaan (NGO) dan organisasi berasaskan komuniti.

Jelasnya, geran dianugerahkan kepada projek tertentu, berdasarkan faedah langsung kepada masyarakat dan komitmen yang ditunjukkan kepada kemampanan.

Dalam pada itu, Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar negeri, Datuk Len Talif Salleh yang juga Pengerusi Tegas berkata, idea menubuhkan TTI dicetuskan pada 2016 oleh dua beranak mewakili masyarakat Orang Ulu daripada etnik Kenyah iaitu John Wang Usang dan anaknya, Juvita yang berasal dari Long San, Baram di sini.

“Sebagai `individu bertuah’ yang mempunyai peluang mendapat pendidikan tinggi dan bekerja dengan pelbagai syarikat multinasional di Kuala Lumpur, mereka merasakan satu penghormatan dan tanggungjawab untuk menggunakan pengalaman dimiliki bagi mencari jalan memastikan masyarakat serta identiti budaya mereka dapat dikembangkan.

“TTI kini merupakan peserta Makmal Permulaan Tegas (TSL) yang menjalankan program inkubasi berstruktur selama setahun bertujuan melengkapkan usahawan Sarawak dengan kemahiran perniagaan dan membina model ekonomi digital bagi negeri ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE