Niaga hadapan minyak mentah Amerika Syarikat (AS) WTI diniagakan pada AS$34.76 (RM143.53) setong, meningkat 10 sen berbanding sesi sebelum ini.

West Texas Intermediate (WTI) meningkat lebih satu pertiga sejak 11 Februari lalu apabila harga minyak jatuh di paras terendah dalam tempoh 13 tahun, kira-kira AS$26 (RM107.36) setong.

Minyak mentah Brent pula meningkat tujuh sen pada AS$37 (RM152.77) setong, iaitu lebih daripada satu perempat sejak 11 Februari lalu.

Peniaga berpendapat, situasi berkenaan didorong oleh khabar angin bahawa pasaran minyak yang tidak menentu akan berakhir setelah harganya merosot sehingga 70 peratus sejak pertengahan 2014.

Pengarah Urusan Strong Petroleum, Oystein Berentsen berkata, pasaran mula memberi fokus kepada kenaikan harga baru-baru ini dan keadaan itu akan mewujudkan pengaliran masuk yang besar terutama pembelian daripada dana lindung nilai.

Sementara itu, penganalisis teknikal Reuters, Wang Tao berkata, harga minyak mentah AS akan mengakhiri trend penurunan dalam minggu ini dan WTI dijangka berlegar melebihi AS$40 (RM165.16) setong pada bulan ini.

Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) juga melihat kelemahan harga tersebut akan kembali beransur baik.

Sementara itu, Ketua Strategi Pasaran CMC Markets, Michael McCarthy berkata, data pengeluaran menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding yang dijangkakan dan perubahan itu dapat membantu AS lebih yakin terhadap pasaran minyak.

Pengeluaran minyak mentah AS jatuh bagi tempoh tiga bulan berturut-turut pada Disember, menurun sebanyak 43,000 tong kepada 9.26 juta tong sehari kerana syarikat minyak bergelut dengan harga yang tidak menentu.

Di sebalik itu, kebanyakan penganalisis tidak menjangkakan harga minyak akan meningkat dalam tempoh terdekat memandangkan pengeluaran kekal di atas permintaan dan inventori minyak mentah global penuh dengan lebihan bekalan yang tidak terjual.

Secara global, penganalisis mengandaikan sejuta hingga dua juta tong minyak mentah dikeluarkan setiap hari dalam permintaan yang berlebihan dan perjanjian dengan pengeluar utama diterajui Rusia dan Arab Saudi untuk membekukan pengeluaran pada tahap Januari, berupaya mengurangkan limpahan stok. – REUTERS