Justeru, pedagang dan pe­labur saham yang mengikuti pergerakan pasaran pada setiap tahun akan ternanti-nanti kedatangan budget rally atau aktiviti pasaran yang bertindak balas dengan pengumuman bajet negara yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri.

Apakah yang menarik dengan kedatangan bajet negara ini yang dinanti-nantikan oleh para pelabur dan pedagang saham di negara kita?

Rally bajet ini merupakan satu aktiviti sementara yang bertindak balas ke atas bajet negara yang akan diumumkan kelak. Kerancakan ini boleh mencapai beberapa minggu dengan kegiatan jual beli saham yang sangat rancak dan memberangsangkan yang ma­na pelabur dan pedagang saham berkesempatan meraih keuntungan dalam masa singkat.

Kebiasaannya, pada sebelum pengumuman bajet negara yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, saham-saham daripada sektor tertentu akan mula didagangkan dengan cergas untuk beberapa hari atau minggu. Ia merupakan strategi pelaburan mengikut haluan negara di mana sektor tertentu akan dianggap lebih maju daripada sektor yang lain.

Suasana atau iklim pasaran pada beberapa minggu sebelum pembentangan bajet negara agak baik dan menarik perhatian pedagang saham yang gemar membeli saham untuk meraih keuntungan dalam masa singkat, harian mahupun kontra.

Pedagang saham jangka singkat ini membeli saham-saham yang bergerak cergas lebih-lebih lagi yang bakal mendapat impak positif atau manfaat kesan daripada bajet negara. Selain itu, sudah sinonim bagi pelabur dan pedagang saham yang berpengalaman akan memberi fokus ke atas saham-saham milik kerajaan atau GLC sepanjang tempoh ini.

Kerancakan ini walau bagai­manapun akan menjadi perlahan sewaktu tibanya hari pem­bentangan bajet. Rakyat Malaysia ternanti-nanti untuk mengetahui apakah peranca­ngan mahupun insentif yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri untuk pembangunan negara kita.

Tidak terkecuali pembentangan bajet negara juga bakal memberi kesan ke atas syarikat-syarikat tersenarai awam yang akan membantu syarikat ini dalam perkembangan dan pembangunan perniagaan syarikat yang mendapat faedah diperuntukkan dalam bajet tersebut.

BAJET

Oleh kerana semasa pembentangan bajet ini merupakan satu keadaan ketidaktentuan atau ketidakpastian, ini akan menjurus kepada pelabur dan pedagang saham tidak memasuki pasaran atau melupuskan pegangan sebelum tarikh bajet.

Ia sama seperti keadaan buy on rumours, sell on news. Ke­adaan keseluruhan pasaran agak sunyi dan tidak cergas sepanjang pengumuman bajet dan ada ketikanya indeks pasaran jatuh pada penutup pasaran di sebelah petang urus niaga pasaran.

Setelah bajet negara mendapat komentar atau ulasan daripada profesional atau pakar-pakar ekonomi, barulah impak bajet ini akan dilihat di kemudian hari. Harga saham syarikat yang mendapat kemudahan atau kesan positif daripada bajet ini akan menunjukkan aliran menaik secara perlahan-lahan untuk beberapa tempoh waktu. Maka, sebagai pelabur bijak, harus tahu dan mengkaji kesan bajet negara ke atas saham-saham syarikat tersenarai yang kemungkinan merupakan satu kesan positif ke atas saham tersebut dalam jangka masa panjang.

Seperti yang sedia maklum, tidak ramai pelabur dan pedagang saham yang komited dalam membuat kajian dan analisis saham sama ada dari segi teknikal mahupun fundamental. Dengan membuat pembacaan dan sedikit analisis, ini akan mengurangkan atau menghindar pelabur dan pedagang saham daripada membuat kesilapan.

Kesilapan yang dimaksudkan di sini sebagai contoh, terjual awal saham yang masih mempunyai potensi aliran menaik yang berterusan, selain mengetahui bila masa untuk memasuki pasaran dan bila masa untuk keluar pasaran. Pelabur dan pedagang saham juga perlu tahu waktu untuk berhenti seketika daripada melakukan jual beli saham lebih-lebih lagi ketika keadaan ketidaktentuan atau keadaan yang memerlukan kita ‘tunggu dan lihat’.

Juga, pedagang saham dan pelabur saham kerap kali mengharap saham yang dibeli itu terus naik sejurus selepas membeli, walhal kadang-kala saham tersebut mengambil masa untuk naik disebabkan faktor-faktor yang mempengaruhi serta minat belian secara besar-besaran ke atas saham tersebut.

Maka, sama ada mahu atau tidak, sememangnya pelabur dan pedagang saham perlu membuat kajian dan analisis saham sebelum membuat keputusan membeli sebagai pendapatan jangka pendek mahupun panjang.

Kepada yang ingin mempelajari cara-cara melabur di pasaran saham Bursa Malaysia boleh mengisi borang pendaftaran di http://tinyurl.com/investrade2017