Sepanjang tahun ini bermula dari pengumuman keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, iklim pasaran negara amat sensitif dengan apa sahaja berita-berita yang diumumkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Satu demi satu peristiwa yang dikaitkan dengan perubahan dasar dan tindakan kerajaan PH bermula daripada manifesto 100 hari telah banyak memberi kesan ke atas harga saham-saham syarikat tersenarai. Keadaan ini memberi tekanan khasnya kepada pelabur dan pedagang runcit.

#Hutang Negara

Daripada isu hutang negara yang pernah menjadi bualan hangat tidak lama dulu, peletakan jawatan ketua-ketua pegawai eksekutif syarikat milik kerajaan (GLC) serta pembatalan dan penangguhan projek-projek mega kerajaan terdahulu menyebabkan iklim pasaran menjadi tidak menentu dan kacau-bilau.

Keadaan ini telah mencorakkan satu perubahan besar di dalam sejarah pasaran saham tempatan dan akibat daripada tindakan atau perubahan yang dibuat ke atas dasar-dasar kerajaan terdahulu telah mengakibatkan suasana pasaran tempatan sangat terkesan sepanjang tahun ini.

Selain menakutkan pelabur asing dengan perubahan dasar yang dibuat secara drastik, pelabur dan pedagang saham tempatan tidak dinafikan turut mengalami kerugian. Apatah lagi bagi pelabur dan pedagang yang baharu sahaja kenal dunia pelaburan.

#Kerugian

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pernah me­ngumumkan kerugian berjumlah berbilion ringgit sejak PH menerajui kerajaan. Dan yang terbaharu sekali ialah tuduhan pecah amanah, rasuah dan penggubahan wang haram yang dikenakan ke atas bekas Timbalan Perdana Menteri , Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Akibat daripada pertuduhan tersebut, kita menyaksikan beberapa saham syarikat tersenarai yang dikaitkan dengan beliau mengalami penyusutan harga yang sangat ketara dan drastik sehingga ada yang mengalami kejatuhan limit-down.

Justeru, ini membuktikan bahawa pasaran tempatan termasuk pelabur masa kini menjadi mangsa keadaan di dalam apa juga keputusan dan tindakan yang dilakukan oleh kerajaan PH.

Pengumuman belanjawan negara 2019 yang bakal diumumkan pada 2 November ini juga akan turut memberi kesan ke atas iklim pasaran tempatan. Kali ini Belanjawan 2019 merupakan belanjawan yang dinantikan dengan penuh debaran kerana ia mencipta satu sejarah yang mana pembentangan kali ini akan diumumkan oleh kerajaan PH.

#Belanjawan 2019

Menanti pembentangan belanjawaan yang penuh debaran ini, kita boleh meramal apakah yang bakal berlaku ke atas iklim pasaran berdasarkan rentetan-rentetan peristiwa yang lepas.

Daripada pengalaman yang lepas-lepas setelah PH memerintah negara, belanjawan tahunan yang akan dibentangkan pada Jumaat ini dikhuatiri merupakan satu belanjawan yang tidak menarik atau tidak dapat menggembirakan hati rakyat dan mesra pelabur. Sekiranya begitu, sudah tentu pembentangan belanjawan tahunan ini akan menyebabkan kesuraman iklim pasaran berlarutan sehingga akhir tahun ini.

Kejatuhan harga minyak mentah dunia yang bermula pada 2014 telah menyebabkan banyak syarikat tersenarai yang berkaitan minyak dan gas terjejas teruk. Sehingga kini, masih terdapat banyak syarikat tersenarai sektor tersebut yang kekal rugi dalam penyata kewangan syarikat sehingga menyebabkan harga merosot dengan banyak. Itu belum lagi yang diklasifikasikan sebagai syarikat tersenarai yang berstatus PN17.

Ramai pelabur dan pedagang runcit mengalami kerugian yang besar kerana membuat pelaburan jangka masa panjang ke atas saham-saham berkaitan minyak dan gas ini kerana tidak menduga krisis kejatuhan harga pasaran minyak mentah dunia bakal memberi tempias yang ketara ke atas syarikat-syarikat tersenarai.

Dalam keadaan pelabur yang belum lagi pulih daripada kerugian dengan membuat pelaburan di dalam syarikat tersenarai yang berkaitan minyak dan gas, keadaan semakin menekan dengan rentetan tindakan-tindakan yang dilakukan oleh kerajaan PH.

Seperti yang boleh dirumuskan sekali lagi, sentimen negatif masih kekal sehingga penghujung tahun ini melainkan aktiviti window dressing iaitu pada hari terakhir urus niaga Bursa Malaysia ditentukan dengan pembentangan Belanjawan 2019 nanti.