Tindakan perlaksanaan yang dibuat ke atas kadar tarif produk barangan China oleh AS ini te­lah mengakibatkan tercetusnya perang dagang di antara dua negara yang memberi impak ke atas pasaran saham global dan juga tempatan.

Justeru, ia memberi kesan dan tekanan ke atas pedagang sa­ham lebih-lebih lagi yang membuat transaksi kontra dan urus niaga saham jangka masa singkat. Indeks pasaran saham Bursa Malaysia mengalami kejatuhan dalam suasana perang dagang ini yang menjurus kepada tekanan jualan.

Tambahan lagi, tanda tanya tarikh sebenar Pilihan Raya Umum ke-14 yang menjadi teka teki yang mana sebahagian pelabur dan pedagang saham mengambil sikap tunggu dan lihat melemahkan lagi sentimen pasaran sedia ada.

Kebiasaannya pada setiap tahun pilihanraya umum, sentimen pasaran pada suku pertama agak tidak memberangsangkan. Hanya terdapat beberapa kenaikan kecil yang berlaku dalam selang masa ini.

Ini dapat dilihat pada dua minggu pertama Januari tahun ini yang mana pasaran agak rancak dengan jumlah dagangan setiap hari mencecah melebihi tiga bilion. Walau bagaimanapun, keadaan ini hanyalah sementara dan pasaran kembali seperti sedia kala dengan jumlah dagangan hanya mencecah purata dua bilion setiap hari.

Kesan peristiwa perang dagang AS dan China telah memberikan impak negatif ke atas pasaran saham. Oleh kerana ini merupakan satu peristiwa yang pertama kali berlaku, maka pedagang dan pelabur saham tidak dapat membuat keputusan yang baik.

Dalam situasi ini, indeks pasaran saham AS (DJIA) kerap mengalami kejatuhan yang banyak. Kejatuhan pada indeks DJIA ini juga telah mengakibatkan bursa-bursa asing turut jatuh termasuk indeks pasaran saham Bursa Malaysia atau FBM KLCI.

Ramai yang terperangkap membeli saham sebelum peris­tiwa ini berlaku. Maka, apabila tercetusnya suasana panik, maka ia telah mengakibatkan situasi panik menjual (panic sel­ling) iaitu pelabur dan pedagang saham menjual saham dengan harga yang lebih rendah daripada harga beli. Ini dilakukan untuk menyekat modal pelaburan menjadi semakin susut kerana ditakuti pasaran akan mengalami kejatuhan yang berpanjangan.

Selepas isu perang dagang ini reda dan juga tarikh PRU14 telah diumumkan, maka pasaran saham kembali pulih. Tidak dinafikan terdapat pelabur saham yang telah membuat kesilapan dalam membuat keputusan ketika masa tempoh ketidaktentuan ini yang mengakibatkan kerugian.

Kerugian yang dimaksudkan ini ialah menjual semasa pasaran turun yang mana harga beli lebih mahal daripada harga jual. Mereka tidak mengambil tindakan untuk membeli semula saham yang telah dijual semasa pasaran mula pulih dan me­ngalami aliran menaik.

Kedua, ada yang mengambil sikap terburu-buru menjual saham pada harga terendah yang mana harga yang murah ini telah menarik minat pelabur institusi untuk membeli ketika pasaran mengalami kejatuhan yang ba­nyak.

Jika dilihat pada kesilapan pelabur semasa suasana panik ini, ia boleh dirumuskan seperti berikut.

Terdapat pelabur dan pedagang saham yang pada asalnya memperoleh keuntungan atau saham yang dibeli telah naik tetapi mereka tidak menjualnya. Dan apabila tercetusnya perang dagang ini, mereka tidak sempat menjual pada harga untung kerana pasaran jatuh.

Bila mana pasaran mula naik, pedagang dan pelabur yang telah menjual saham pada harga yang rendah masih takut untuk memasuki semula pasaran. Mereka merasa takut untuk membeli kerana khuatir sekiranya membeli, pasaran akan jatuh semula.

Keadaan pasaran turun naik yang tidak menentu ini kerap terjadi dalam keadaan sekarang. Dengan kejatuhan pasaran saham AS yang memberi kesan kepada pasaran global membuatkan pedagang dan pelabur hilang arah dan tidak berani untuk memasuki pasaran lebih-lebih lagi pedagang dan pelabur yang kurang berpengalaman.

Dengan keadaan sifat perge­rakan turun naik pasaran, maka setiap orang yang ingin melibatkan diri dalam pelaburan dan perdagangan saham perlu mendapatkan ilmu terlebih dahulu. Mereka juga perlu memerhatikan turun naik pasaran untuk satu tempoh tertentu bagi membiasakan diri dengan turun naik pasaran.

Kepada yang ingin mendapatkan pembelajaran saham pada Mei ini boleh menghubungi ta­lian 013-3899162 atau 013-3225274.