Ketua Pegawai Operasi Sektor Perladangan Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV), S. Palaniappan berkata, penglibatan kerajaan termasuk Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dalam isu ini amat tepat demi memastikan kepentingan masa depan industri minyak sawit negara.

“Bagi FGV, kami tidak banyak terlibat secara terus dengan Pe­rancis, kalau ada pun, penglibatan kami sangat rendah. Tetapi sebagai satu industri, besar harapan kami supaya isu ini dapat diselesaikan.

“Malah, dengan penglibatan dan komitmen daripada kerajaan juga dilihat dapat membantu industri minyak sawit terus berge­rak dan tiada halangan untuk menjual minyak sawit ke mana-mana sahaja termasuk negara-negara Eropah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong semalam, bahawa Malaysia berkemungkinan meneliti semula pilihan perdaga­ngannya dengan Perancis jika negara itu terus mempertahankan pendirian berhubung bahan api bio berasaskan sawit.

Langkah itu susulan pengumuman Menteri Alam Sekitar Perancis, Nicholas Hulot baru-baru ini yang mencadangkan pelaksanaan langkah lebih ketat untuk mengehadkan penggunaan minyak sawit dalam bahan api bio atas alasan mengurangkan pembasmian hutan di negara asal komoditi itu.

Ekoran itu, Siew Keong menggesa Perancis serta negara-negara Eropah lainnya untuk be­kerjasama dengan Malaysia bagi menangani kebimbangan mengenai aspek kemapanan daripada menumpukan langkah berbentuk ‘menghukum’ yang tidak memberi sebarang manfaat.

FGV merupakan pe­nge­luar minyak sawit mentah (MSM) terbesar dunia dan penapis mi­nyak sawit kedua terbesar di Malaysia serta mempunyai operasi di le­bih 10 buah negara termasuk Asia, Amerika Uta­ra dan Eropah.

Menurut laman web MPOB, eksport minyak sawit Malaysia ke negara-negara Eropah antara Januari hingga Jun tahun ini berjumlah 926,580 tan metrik dengan 498,974 tan metrik daripadanya dieksport ke Belanda.

Sementara itu, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA), Datuk Dr. Makhdzir Mardan berharap sebarang keputusan yang akan dibuat oleh kerajaan mengambil kira nasib pekebun kecil di negara ini.

“Kerajaan telah banyak membantu pekebun-pekebun kecil ini keluar daripada belenggu kemiskinan dan berada dalam kelompok pendapatan per­tengahan. Jadi, saya harap keputusan ini menilai pelbagai aspek bukan sahaja dari segi ekonomi te­tapi juga impak sosial ke atas masa depan pekebun kecil,” katanya.

Penganalisis Affin Hwang Capital, Nadia Aquidah berkata, eksport minyak sawit pada Jun menurun 8.4 peratus kepada 1.38 juta tan metrik memandangkan pembelian yang rendah dari China, India, Iran dan Kesatuan Eropah (EU) tetapi diimbangi oleh pembelian yang tinggi dari Pakistan, Filipina, Amerika Syarikat dan Vietnam.

“Walaupun secara keseluruhan eksport minyak sawit meningkat 7.2 peratus kepada 7.83 juta tan metrik pada separuh pertama tahun ini, industri ini berdepan dengan beberapa risiko antaranya, penangguhan dalam pelaksanaan mandat biodiesel di Indonesia dan Malaysia, cukai dan dasar yang tidak me­nguntungkan serta penurunan dalam pengeluaran MSM tidak diimbangi oleh harga jualan yang lebih tinggi,” katanya dalam nota kajian.