Pengarah Urusan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), Datuk Charon Wardini Mokhzani berkata, meskipun TPPA tidak terlalu memberi kesan kepada sektor pertanian kerana Malaysia telah mengamalkan dasar terbuka dalam pertanian, namun perjanjian itu menjadi penanda aras terhadap prestasi dan prospek masa depan negara dalam sektor berkenaan.

Jelasnya, kajian juga perlu dilakukan bagi memastikan Malaysia tidak ketinggalan berbanding negara-negara pesaing khususnya dalam merebut akses pasaran pertanian dan menjadi pengeluar produk-produk makanan berasaskan pertanian.

“Pengurangan tarif produk-produk pertanian di dalam TPPA tidak terlalu berimpak besar berbanding industri lain termasuk kontrak kerajaan. Namun ia pen­ting bagi kita untuk menilai se­mula fokus sektor pertanian negara.

“Di dalam perdagangan antarabangsa, sebuah negara tidak perlu menguasai sesuatu sumber pertanian, namun masih mampu menjadi pengeluar produk pertanian berasaskan sumber tersebut. Misalnya, Switzerland merupakan pengeluar produk-produk coklat utama dunia, tetapi mereka tidak mempunyai sumber koko di negara mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menjadi ahli panel forum bertajuk ‘TPPA dan Implikasinya Terhadap Pertanian dan Jaminan Sumber Makanan Malaysia’ di sini hari ini.

Turut menjadi ahli panel ialah Pengarah Kanan Perbadanan Pem­bangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Wan Latiff Wan Musa; Penyelidik Institut Kajian Dasar Pertanian dan Makanan Universiti Putra Malaysia (UPM), Datin Paduka Dr. Fatimah Moha­med Arshad.

Beliau dalam pada itu berkata, kemampuan sama ada Malaysia dapat memanfaatkan TPPA adalah bergantung kepada sejauh mana pemahaman dan kepakaran syarikat-syarikat Malaysia terhadap peraturan-peraturan di dalam perjanjian perdagangan bebas (FTA).

Beliau bagaimanapun berkata, berdasarkan beberapa FTA yang telah ditandatangani Malaysia se­belum ini, syarikat-syarikat Ma­laysia dilihat kurang menggunakan kelebihan yang terdapat menerusi TPPA.

Sementara itu, Wan Latiff berkata, Malaysia mempunyai kelebihan di dalam segmen hiliran pertanian itu menghasilkan produk-produk makanan yang diproses.

“Kelebihan seperti itu tidak semestinya memerlukan Malaysia menguasai sumber-sumber bahan mentah. Kita perlu menggunakan kelebihan ini untuk mengambil kesempatan ini di dalam TPPA, selain konsep halal.