Walau bagaimanapun menurut Fitch Ratings, persekitaran operasi akan kekal mencabar disebabkan oleh persaingan yang semakin kuat dan peluasan kapasiti.

Katanya, pertumbuhan ekonomi makro bakal mendorong permintaan dan perolehan syarikat penerbangan di rantau berkenaan dan data pada 2015 menunjukkan pertumbuhan permintaan yang kukuh.

“Faktor muatan penumpang (PLF) di Asia Tenggara dan India meningkat dengan purata bagi tujuh syarikat penerbangan utama berpangkalan di rantau ini mencecah paras tertinggi melebihi 80 peratus pada suku ketiga 2015.

“Penurunan harga minyak global yang berterusan juga memberi rangsangan yang amat diperlukan kepada pendapatan syarikat penerbangan,” katanya.

Penggabungan industri dan penstrukturan semula dalam kalangan syarikat penerbangan di rantau berkenaan seharusnya menghasilkan keuntungan yang lebih baik.

Namun begitu, persaingan agresif dan pengembangan kapasiti kekal sebagai risiko utama bagi sektor itu dalam jangka panjang.

Pertumbuhan kapasiti di Asia Tenggara dan India mula perlahan pada 2015 berikutan memberi tumpuan kepada keuntungan.

Ini kerana tempahan yang banyak bagi pesawat baharu boleh menjadikan syarikat berdepan kesukaran untuk meningkatkan keuntungan. – REUTERS