Projek mega itu melibatkan laluan tiga MRT atau MRT3 Circle Line (MRT3) dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) dengan ke­dua-dua tender masih lagi dibuka kepada syarikat yang layak.

Bagi MRT3, tender tersebut dilanjutkan sehingga 8 Januari 2018 berbanding tarikh asal pada Disember 2017 dan dijangka dapat diumumkan pada Februari ini berikutan permintaan menggalakkan daripada firma tempatan dan luar negara.

Pada 20 Disember lalu pula, MyHSR Corporation (MyHSR Corp.) dan SG HSR Private Ltd. (SG HSR) mengumumkan akan membuka bidaan bagi tender Assets Company (AssetCo), yang akan bertanggungjawab mereka bentuk, membina, membiayai dan menyelenggara projek HSR.

Menurut MyHSR Corp., apabila tender AssetsCo dianugerahkan, ia akan menyaksikan lebih banyak peluang diwujudkan untuk syarikat tempatan sekali gus membolehkan mereka membina kepakaran dan kapasiti sedia ada serta menyediakan peluang lebih luas kepada penyertaan syarikat tempatan.

“Ini membolehkan pemba­ngunan berterusan bagi bakat dan kepakaran tempatan di samping menyokong dan menjadi pemangkin kepada pembangunan industri tempatan.

“Projek HSR bukan sahaja akan mengubah cara orang bergerak, bekerja dan menjalani rutin harian tetapi memberi kami peluang untuk meningkatkan keupayaan tempatan dengan pendedahan yang diperoleh daripada pembinaan projek ikonik ini,” katanya dalam ke­nyataan kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Jelas MyHSR Corp., tender AssetsCo bertujuan mengenal pasti AssetsCo yang berupaya menyediakan penyelesaian terutama kepada keselamatan dan sekuriti, ketersediaan dan kebolehpercayaan, teknologi yang terbukti, fleksibiliti operasi, reka bentuk berorientasikan pengguna, nilai kepada wang dan melaksanakan projek kerjasama antara MyHSR Corp. dan SG HSR.

Sementara itu, Penganalisis HLIB Research, Jeremy Goh berkata, walaupun kontrak bagi MRT3 dan HSR hanya dapat direalisasikan pada tahun depan tetapi tetap menjangkakan aliran kontrak yang stabil pada tahun ini.

“Kita jangkakan kontrak bagi sektor pembinaan tahun ini sekitar RM25 bilion hingga RM30 bilion dengan projek mega yang sepatutnya dimulakan, termasuk Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bernilai RM55 bilion yang menyaksikan 30 peratus atau RM16.5 bilion terdiri daripada syarikat tempatan dan Lebuh Raya Pan Borneo Sabah bernilai RM12.6 bilion.

“Untuk itu, kita jangkakan ali­ran kontrak akan mengekalkan momentum yang kukuh dalam tempoh satu hingga dua tahun terutama didorong projek mega seperti ECRL, MRT3 dan HSR,” katanya dalam nota kajian.

Pada suku keempat 2017 menyaksikan kontrak domestik bernilai RM10.9 bilion meningkat 61 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya diberikan kepada syarikat kontraktor tersenarai yang sebahagian besarnya disumbangkan menerusi kontrak Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) bernilai RM5.5 bilion.

Dalam tempoh itu juga jumlah kontrak meningkat kepada 49 berbanding 42 pada suku ketiga 2017 dan 27 pada suku keempat 2016.

Bagi kontrak asing pula me­ningkat kepada RM1.5 bilion pada suku keempat 2017 berbanding RM52 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya, menjadikan jumlah kontrak asing sepanjang 2017 bernilai RM2.7 bilion, meningkat 87 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Kebanyakan kontrak itu disumbangkan menerusi projek Lebuh Raya Solapur-Bijapur di India bernilai RM1.3 bilion melibatkan IJM Corporation Bhd.

Menurut Jeremy, walaupun keseluruhan kontrak domestik pada tahun lalu yang berjumlah RM29.3 bilion dengan penurunan 48 peratus tahun ke tahun tetapi ia masih merekodkan nilai kedua tertinggi dalam tempoh sejak sembilan tahun lalu.

“Penurunan ini sememang­nya dijangkakan setelah melihat asas yang tinggi pada 2016 melalui kontrak mega seperti MRT2 bernilai RM24 bilion, Pan Borneo Sarawak (RM10 bilion) dan lebuh raya utama (RM7.5 bilion).

“Bagi 2017, ia melibatkan banyak agihan kontrak terutama LRT3 bernilai RM7.3 bilion (25 peratus daripada kontrak) dan sebahagian pakej MRT2 bernilai RM3.4 bilion (12 peratus),” katanya.