Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

JABATAN Penilaian dan Per­khid­­matan Harta (JPPH) di ba­wah Kementerian Kewangan melancarkan Laporan Pasaran Hartanah 2016, semalam. Ba­nyak fakta menarik mengenai industri tanah dalam negara boleh didapati dalam lapor­an itu yang pastinya dijadikan panduan serta petunjuk oleh industri dan pihak-pihak berkepentingan mengenai prospek hartanah tempatan.

Berdasarkan laporan itu, pasaran hartanah untuk beberapa tahun akan datang dijangka perlahan sebelum ia bangkit semula. Unjuran itu dibuat mengambil kira sentimen industri pada tahun dikaji, yang mencatatkan penurunan transaksi sebanyak 11.5 peratus dari segi bilangan dan tiga peratus dari segi nilai berbanding 2015.

Laporan itu turut menyebut, bilangan unit kediaman baharu dilancarkan berkurang­an hampir 53,000 unit, pengurangan sebanyak 9.8 peratus berban­ding lebih 58,000 unit pada 2015. Prestasi jualan juga lebih rendah kepada 31.4 peratus ber­­­banding 42.1 peratus tahun sebelumnya.

Malah, pasaran yang perlahan mempengaruhi kadar unit kediaman siap dibina yang tidak terjual, meningkat kepada 14,792 unit bernilai RM8.56 bilion, peningkatan sebanyak 43.8 peratus dan 70.7 peratus dari segi nilai berbanding 2015.

Selain unit kediaman, hartanah komersial iaitu pejabat dan ruang niaga yang tidak dihuni juga meningkat dengan Kuala Lumpur dan Selangor merekodkan 2.74 juta meter persegi ruang pejabat tidak dihuni, peningkatan sebanyak 16 peratus berbanding 2015.

Jumlah ruang niaga tidak dihuni juga meningkat 2.7 juta meter persegi iaitu 11.9 peratus berbanding tahun sebelum­nya.

Senario hartanah komersial tidak dihuni atau dalam erti kata lain tidak terjual, dapat dilihat dengan banyaknya papan iklan dan kain rentang dipasang di merata-rata tempat khususnya tiang elektrik dan lampu isyarat di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Mengambil kira laporan tersebut, sektor hartanah tempatan ternyata berdepan tempoh yang sukar pada tahun ini. Sebagaimana dinyatakan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dalam prakata buku laporan itu, ketidaktentuan arena politik global, kejatuhan harga komoditi dan ketidaktentuan dalam pasaran kewangan antara faktor yang mempengaruhi pasaran hartanah di Malaysia.

Faktor-faktor tersebut dilihat akan terus memainkan peranan dalam menentukan turun naik pasaran hartanah tempatan. Sementelah, kini berlaku isu politik yang bakal mempengaruhi ekonomi dunia, antaranya konflik Syria dan Korea Utara. Kedua-dua isu ini belum menampakkan sebarang petunjuk untuk berakhir, malah semakin ‘panas’ khususnya membabitkan Korea Utara.

Campur tangan kuasa besar, Amerika Syarikat dalam ke­dua-dua krisis ternyata menghangatkan lagi keadaan, sete­rusnya memberi tekanan kepada pasar­an ekonomi, kewangan, saham dan komoditi global.

Misalnya, harga minyak men­tah dunia kini turun naik di sebalik usaha Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) mengurangkan pengeluaran untuk mengukuh dan meningkatkan harga komoditi itu. Dalam sesi dagang­an hari ini, minyak Brent ja­tuh 12 sen kepada AS$54.77 (RM241.273) setong, sementara WTI jatuh sembilan sen kepada AS$52.32 sen (RM230.477) setong.

Dalam konteks domestik pula, masalah peminjam sukar mendapatkan pembiayaan untuk membeli hartanah dilihat turut meningkatkan kadar hartanah yang tidak terjual dalam pasaran, sete­rusnya memberi kesan kepada pemaju untuk me­­laksanakan projek-projek baharu.

Merujuk kepada laporan JPPH, jumlah permohonan pin­­­jaman untuk pembelian harta kediaman pada 2016 berkurang­an lagi sebanyak 18.4 peratus (2015: kurang 10 peratus), manakala jumlah kelulusan pinjaman menurun seba­nyak 15.3 peratus (2015 kurang 14.6 peratus). Permohonan dan kelulusan pinjam­an untuk pembelian bukan kediaman juga turun masing-masing 12.1 peratus dan 14.3 peratus.

Angka-angka itu memberi petunjuk jelas bahawa sektor hartanah sama ada kediaman atau bukan kediaman bakal te­rus menerima tekanan di­sebabkan faktor-faktor di atas yang bersilang antara satu sama lain.

Justeru, sebagaimana di­nya­takan oleh Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Dr. Rahah Ismail, lebihan bekalan dalam sektor hartanah perlu dielakkan bagi meminimumkan sebarang im­plikasi pada jangka masa pendek dan panjang. Langkah ini dapat mengelakkan pemaju berdepan kerugian apabila projek dilaksana tidak terjual.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain