Kenanga Research dalam nota kajiannya berkata, jumlah jualan kenderaan (TIV) pada 2019 diunjurkan sebanyak 590,000 buah didorong oleh pengeluaran model-model baharu seperti Toyota Vios dan Yaris Hatchback serta model para pesaing seperti Honda, Nis­san, Mazda dan Proton.

“Indeks sentimen pengguna Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) mencatatkan skor 107.5 mata pada suku ketiga 2018 mencerminkan peningkatan pembelian kenderaan semasa tempoh cuti cukai hampir berakhir.

“Data daripada Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan kadar kelulusan pinjaman untuk kereta penumpang adalah sekitar 55 peratus bagi tempoh pembiayaan melebihi lima tahun. Peningkatan itu didorong oleh kadar sifar peratus semasa cuti cukai,” katanya.

Pembelian kenderaan kembali perlahan pada suku keempat tahun lalu selepas pelanggan melengkapkan tempahan mereka semasa cuti cukai de­ngan Julai menjadi TIV bulanan kedua tertinggi yang pernah direkodkan di Malaysia. Pelaksana­an cukai jualan dan perkhidmatan (SST) juga menyumbang kepada pertumbuhan jualan yang lebih perlahan.

Sementara itu, persaingan pengeluar kenderaan tempatan antara Proton Holdings Bhd. (Proton) dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Pe­rodua) dilihat semakin menarik apabila masing-masing melancarkan model kenderaan utiliti sukan (SUV) dengan segmen pasaran yang berbeza.

Proton melancarkan X70 pada Disember dengan harga jualan seluruh negara antara RM99,800 hingga RM123,800 sebuah. Perodua baru-baru ini mengumumkan harga jualan Aruz iaitu antara RM72,200 hingga RM77,200 sebuah.

Walaupun setiap model mempunyai sasaran pasaran tersendiri, strategi Perodua yang mengumumkan harga sebelum pelancaran Aruz dilihat seolah-olah mahu ‘mengacau’ momentum jualan X70.

Menurut laporan sektor automotif AmInvestment Bank, Perodua akan memanfaatkan Tahun Baharu Cina untuk me­ningkat jualan selain mengalihkan perhatian pasaran daripada SUV lain termasuk X70. Sasaran jualan bulanan untuk Aruz adalah 2,500 buah.

“Sasaran itu tidak mustahil dicapai memandangkan purata jualan bulanan keseluruhan SUV di pasaran adalah sebanyak 5,900 buah. Setakat ini, Aruz merupakan SUV paling murah di pasaran dan model tersebut akan memberi sedikit kesan kepada penjualan Alza.

“Unjuran terhadap pertumbuhan Perodua bagi 2019 kekal pada tiga peratus dengan jualan sebanyak 233,000 buah kende­raan yang mana Aruz menyumbang sebanyak 11 peratus. Jualan terbesar Perodua masih lagi dikuasai oleh Myvi dan Axia,” jelasnya.

Model kenderaan dengan kapasiti enjin 1,500cc dan ke bawah bagi kereta serta 125cc dan ke bawah untuk motosikal pasti menjadi tumpuan pembeli kerana membolehkan mereka menikmati subsidi bersasar. Pemberian subsidi tersebut dibentangkan dalam Belanjawan 2019 pada November lalu.

Sehubungan itu, pasaran automotif tempatan dijangka dikuasai oleh model-model baharu dengan kapasiti enjin yang lebih kecil.

Pertumbuhan sektor automotif turut mempengaruhi eks­port alat ganti dan komponen yang diunjurkan bernilai lebih RM12 bilion pada tahun ini dipacu oleh peningkatan daya saing dalam kalangan vendor tempatan dan pertambahan jumlah vendor yang mengeks­port produk mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Ins­titut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Datuk Mohamad Madani Sahari berkata, nilai eksport meningkat hampir dua kali ganda kepada RM11.8 bilion pada 2017 berbanding RM5.2 bilion pada 2011.