Keadaan aliran menurun

  • Kejatuan secara tiba-tiba tanpa diketahui sebab atau tanpa apa-apa berita negatif
  • Kejatuhan yang telah dijangka. Sebagai contoh, kejatuhan teruk di bursa asing seperti DJIA, kejatuhan harga minyak mentah di pasaran dunia dan pembatalan projek mega
  • Kejatuhan berpanjangan sama ada berminggu-minggu atau berbulan-bulan
  • Kejatuhan secara limit-down
  • Kejatuhan yang banyak pada saham-saham individu. ­Secara tepatnya, kejatuhan melebihi 10 peratus dalam satu hari dagangan
  • Kejatuhan indeks pasaran FBM KLCI melebihi 20 mata
  • Kejatuhan serentak pada saham-saham berkaitan indeks

Ketakutan pedagang dan pelabur saham disebabkan:

- Mereka merupakan pelabur dan pedagang baharu atau newbie yang tidak biasa melihat kejatuhan pasaran saham

- Kejatuhan harga saham memberi gambaran bahawa modal pelaburan menjadi susut le­bih-lebih lagi yang sudah biasa menyimpan wang di bank, Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan simpanan dalam Lembaga Tabung Haji

  • Bagi pelabur dan pedagang ­saham yang pernah mengalami kerugian, mereka diba­yangi kerugian lampau apabila melihat portfolio pelaburan
  • Mereka menggambarkan saham-saham syarikat tersenarai yang dipegang akan terus jatuh

Tindakan pelabur dan pedagang saham ketika pasaran jatuh

  • Bagi yang masih mempunyai baki modal belum digunakan, mereka akan membeli lagi sama ada saham yang sama atau berlainan
  • Menjual kesemua pegangan walaupun dalam keadaan rugi. Ini disebabkan mereka tidak mahu menanggung kerugian lebih besar sekiranya pasaran jatuh lagi
  • Hanya tunggu dan lihat. Biasanya tindakan ini dilakukan oleh pelabur yang portfolio pelaburan mereka susut nilainya. Mereka hanya akan menjual pegangan saham apabila harga naik

Faktor-faktor yang menyebabkan kejatuhan pasaran saham perlu difahami oleh setiap pedagang dan pelabur saham ataupun sesiapa ­sahaja yang ingin melibatkan diri dalam pelaburan atau perdagangan saham.

Faktor-faktor atau punca yang menyebabkan harga saham jatuh atau indeks pasaran jatuh telah banyak dikupas dalam ruangan sebelum ini. Walau bagaimanapun, sekali lagi Cikgu Saham menyenaraikan faktor-faktor asas paling mudah diingati yang menyebabkan harga saham syarikat tersenarai jatuh :

  • Pengambilan untung
  • Pembetulan harga
  • Status syariah saham syarikat tersenarai ditarik balik
  • Syarikat tersenarai mengumumkan laporan kewangan yang negatif
  • Kejatuhan harga pasaran ­minyak mentah di pasaran dunia. Kesannya dilihat pada saham-saham berkaitan ­minyak dan gas
  • Kejatuhan nilai mata wang ringgit

Dua bahagian Kejatuhan pasaran saham

  • Kejatuhan indeks FBM KLCI iaitu saham-saham berkaitan indeks mengalami kejatuhan harga. Saham-saham berkaitan indeks ini bilangannya ialah 30 kaunter. Setiap saham komponen FBM KLCI ini berbeza nilai pemberat terhadap keseluruhan FBM KLCI yang dikira berdasarkan nilai pasaran modal masing-masing. Kejatuhan saham berkaitan indeks yang mempunyai nilai pasaran modal besar akan memberi kesan lebih teruk terhadap prestasi FBM KLCI jika dibandingkan dengan saham indeks yang nilai modal pasaran lebih kecil
  • Kejatuhan saham-saham sya­rikat tersenarai selain daripada saham-saham berkaitan indeks. Saham-saham yang didagangkan di Bursa Malaysia termasuk waran syarikat tersenarai, waran berstruktur, ETF, REIT dan Dana Tertutup

Apakah langkah terbaik perlu dilakukan?

Tindakan yang ingin dilakukan ketika pasaran jatuh merupakan tindakan yang agak sukar berbanding dengan tindakan semasa pasaran naik.

Biasanya apabila pasaran dalam aliran menaik, pedagang dan pelabur saham akan beli dahulu dan jual kemudian. Menjual saham dengan harga yang lebih tinggi daripada harga beli.

  • Contoh jika aliran menaik:

Ahmad membeli saham syarikat tersenarai ABC pada harga RM1.00 dan menjualnya seminggu kemudian pada harga RM1.20.

  • Contoh jika aliran menurun:

Ahmad dapati harga saham syarikat ABC yang dibelinya telah merosot kepada 90 sen. Maka, Ahmad tidak tahu sama ada dia ingin meminimumkan kerugian dengan menjual saham tersebut pada harga 90 sen atau beli lagi pada harga tersebut.

Kita sambung topik ini pada minggu hadapan. Kepada yang ingin mempelajari tentang pelaburan saham pada 1 Mei ini, sila hubungi talian 019-2352037.