Sebagai seorang pedagang dan pelabur saham, tempoh dua tahun ini sepatutnya telah menjadikan seseorang yang baru menceburi bidang saham mahir membaca pergerakan turun naik pasaran. Di samping itu, tempoh dua tahun ini telah menjadikan seseorang itu mahir untuk memilih dan membeli saham-saham yang berpotensi.

Kolum ini juga bertindak sebagai garis panduan kepada pelabur dan pedagang saham yang tiada pengetahuan tentang pasaran saham Malaysia kerana tidak banyak bahan bacaan tentang pasaran saham Malaysia yang boleh diperoleh di negara ini lebih-lebih lagi dalam Bahasa Melayu.

Saya percaya para pembaca telah memperoleh banyak maklumat dan kemas kini tentang pasaran saham selama dua tahun ini yang diterangkan dalam kolum ini pada setiap minggu.

Tempoh dua tahun ini walau bagaimanapun bukanlah bererti seseorang itu layak menjadi pakar pelaburan atau perdagangan saham, tetapi cukup sekadar tidak perlu lagi bersandar kepada orang lain dalam membaca pergerakan pasaran, mencari maklumat pasaran dan berita-berita semasa yang berkaitan dengan pasaran saham dan syarikat tersenarai serta dapat membuat pemilihan saham yang ingin dibeli dengan agak baik.

Selepas seseorang itu berjaya mencapai tempoh dua tahun dalam membuat urus niaga saham, langkah seterusnya ialah untuk mencapai tempoh tiga tahun pula. Dan sekiranya dapat melepasi tempoh tiga tahun ini dengan cemerlang walaupun kadang-kala membuat sedikit kesilapan, pelabur dan pedagang saham seterusnya perlu mencapai tempoh lima tahun pula untuk menjadikan diri anda seorang survivor dalam pasaran saham.

Tempoh lima tahun itu akan menjadikan pelabur dan pedagang saham berjaya dalam bidang ini dalam konteks berikut:

* Kurang membuat kesilapan dalam beli dan jual saham.

* Boleh berdikari dalam membuat keputusan beli dan jual saham.

* Tidak lagi bersandar kepada cakap-cakap orang.

* Menjadikan diri lebih matang dan tidak mudah terpedaya dengan khabar angin atau cakap-cakap orang.

* Dapat membetulkan kesilapan atau menutup kerugian apabila berlakunya kerugian dalam urus niaga saham.

* Mahir dalam menjana pendapatan dengan mudah dan kurang membuat kesilapan.

* Dapat mengatur kehidupan dengan lebih teratur walaupun melakukan urus niaga saham sebagai aktiviti rutin.

* Dapat mengawal emosi apabila tersilap dalam membuat jual beli saham yang mengakibatkan ke­rugian.

Kenapa tempoh lima tahun itu merupakan syarat untuk menjadikan seseorang itu sebagai survivor dalam pasaran saham?

Seperti dalam kolum yang ditulis di ruangan yang lepas, Cikgu Saham pernah me­nerangkan tentang putaran atau trend pasaran sepanjang satu tahun. Ini bermakna putaran pasaran saham dari awal tahun sehingga akhir tahun mempunyai satu corak yang lebih kurang sama atau trend yang terjadi berulang-ulang kali.

Cuma dalam perjalanan sepanjang satu tahun tersebut, kemungkinan terdapat peristiwa yang pertama kali terjadi yang membuatkan pelabur dan pedagang saham tidak dapat bertindak awal untuk menepis atau mengelakkannya daripada berlaku yang mana peristiwa ini bakal menjejaskan perjalanan pasaran saham seterusnya mengakibatkan ramai pelabur dan pedagang saham rugi.

Biasanya, peristiwa yang baharu pertama kali terjadi dalam sejarah pasaran saham yang sangat-sangat dikhuatiri oleh semua pelabur dan pedagang saham ialah kesan yang akan menjatuhkan pasaran saham atau yang mengakibatkan penurunan harga saham-saham syarikat tersenarai di Bursa Malaysia.

Kejatuhan sama ada besar atau kecil, sekejap atau lama semuanya menakutkan para pelabur dan pedagang saham berbanding dengan kerisauan yang dilakukan oleh pelabur dan pedagang saham yang menjual saham yang telah untung tetapi naik lagi.

Dan tempoh lima tahun itu seperti yang diketahui umum ialah kedatangan Pilihan Raya Umum ke-14 negara kita. Maka, sebagai pelabur dan pedagang saham yang belum pernah merasai kesan pilihan raya, inilah waktu yang sesuai untuk merasai pengalaman melihat bagaimanakah kesan pilihanraya nanti terhadap pasaran saham Malaysia.

Kesan ini juga turut dirasai semasa pembubaran Jemaah Menteri, pengisytiharan tampuk pemerintahan baharu serta penyusunan semula menteri-menteri Kabinet dalam peme­rintahan yang baharu yang berjaya memenangi pilihan raya nanti.

Kepada yang ingin mempelajari pelaburan saham boleh mendaftar di https://tinyurl.com/investrade2018