Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Abdul Rahim Abdul Rahman berkata, rumah pada harga lingkungan RM250,000 ke RM500,000 sebuah berpotensi untuk menunjukkan prestasi yang baik pada 2018.

Katanya, sektor kediaman mampu milik akan menyaksikan lebih banyak projek kategori tersebut yang didefinisikan sebagai berharga RM500,000 di Lembah Klang dan lebih rendah di negeri-negeri lain.

“Walaupun berharga mampu milik, kebanyakan unit ini memiliki keluasan lantai yang kecil tetapi dilengkapi dengan konsep moden dan dibangunkan di kawasan pembangunan berorientasikan transit (TOD).

“Berbeza dengan rumah mewah, ia kekal mencabar dengan pembetulan harga -10 peratus daripada harga sebenar transaksi sejak 18 hingga 24 bulan lalu, 15 hingga 20 peratus lebih rendah daripada harga asal penjual rumah di pasaran sekunder,” katanya dalam taklimat tinjauan pasaran harta­nah 2017/2018 di sini hari ini.

Statistik Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) merekodkan transaksi lebih rendah pada sembilan bulan pertama 2017 iaitu sebanyak 229,529 buah bagi semua jenis hartanah berbanding sembilan bulan pertama 2016 (239,916).

Berbanding dengan nilai transaksi, sebanyak RM102.29 bi­lion telah direkodkan sepanjang Januari sehingga September 2017, peningkatan tujuh peratus daripada RM95.57 bilion pada Januari sehingga Sep­tember 2016.

Mengulas tentang itu, Abdul Rahim menyifatkan ia sebagai kemungkinan yang positif daripada trend penurunan yang dicatatkan sejak 2015. “Pasaran hartanah Malaysia diunjur dalam keadaan mendatar dan stabil pada 2018, meskipun masih mencabar, tetapi ramai yang menaruh harapan agar keputusan pilihan raya akan datang memberi hala tuju lebih kukuh.

“Walaupun masih terlalu awal untuk menyatakan bahawa pasaran telah melewati fasa terendah, kami tidak menjangkakan pasaran tahun ini tidak merosot berbanding 2017,” ­katanya