KUALA LUMPUR 16 Jan. - Persatuan Automotif Malaysia (MAA) membidas tindakan kerajaan yang didakwa lewat meluluskan harga model kereta baharu sekali gus menjejaskan perancangan ahli-ahlinya untuk membuat pelancaran.
Presidennya, Datuk Aishah Ahmad berkata, tempoh menunggu kelulusan boleh mencapai antara lima dan tujuh bulan yang dikhuatiri akan menjejaskan jualan kenderaan baharu tahun ini.
Katanya, beliau tidak boleh memaklumkan secara terperinci, namun ramai ahli MAA terjejas dengan kelewatan tersebut.
“Kami telah mempamerkan pelbagai model semasa Pertunjukan Motor Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 lalu dan pelancaran tergendala kerana kami masih tidak mendapat harga rasmi (daripada pihak berkuasa),” katanya dalam taklimat bersama media di sini hari ini.
Tambah Aisyah, proses keseluruhan bagi mendapatkan kelulusan harga menjadi lebih kompleks disebabkan oleh entiti baharu iaitu Jawatankuasa Pembangunan Perniagaan Automotif (ABDC) yang diletakkan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Menurutnya, ahli-ahli jawatankuasa itu terdiri daripada Kementerian Kewangan; Jabatan Kastam Diraja Malaysia; Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
Katanya, kelewatan itu disebabkan Kementerian Kewangan tidak mahu membuat keputusan dan segala-galanya diserahkan kepada ABDC.
“Pegawai kerajaan tidak mahu membuat sebarang keputusan sendiri. Ia sepatutnya menjadi keputusan jawatankuasa dan kelewatan berkenaan langsung tidak membantu industri. Kami telah menyuarakan masalah ini.
“Situasi ini sangat sukar kerana kami tidak boleh melancarkan model baharu jika tidak mempunyai maklumat harga baharu,” ujarnya.