Malah, katanya, Malaysia juga sudah bersedia untuk menghadapi perubahan disruptif dalam ekonomi semasa.

Sehubungan itu, beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia meletakkan sasaran untuk menjadi sebuah daripada 20 negara ekonomi utama dunia menjelang 2050 melalui inisiatif pembangunan negara iaitu Transformasi Nasional atau TN50.

“Bagi mencapai tujuan itu, kerajaan memberi fokus istimewa terhadap inovasi dan kreativiti, mengutamakan sains, teknologi dan matematik, kod dan sains komputer serta teknikal dan latihan vokasional.

“Malaysia turut menggunakan formulasi Dasar Digital Malaysia kerana sedar bahawa ekonomi digital menjadi pemacu utama pertumbuhan negara, dan kita menyasarkan ia menyumbang 20 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2020, atau awal daripada itu,” katanya dalam ucaptama semasa meras­mikan Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) Ke-13 di Pusat Konvensyen Kuching (BCCK) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg; Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Pengerusi WIEF, Tun Musa Hitam dan bekas Perdana Menteri yang juga pengasas WIEF, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Selesai merasmikan forum bertemakan, ‘Perubahan Disruktif: Impak dan Cabaran’, Najib kemudian bertindak sebagai moderator.

Dalam pada itu, Najib berkata, parti pembangkang hanya membohongi rakyat dan melayari ekonomi fantasi semata-mata apabila berhasrat mahu membatalkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) jika dipilih rakyat untuk mengambil alih pemerintahan negara ini.

“Dalam abad ke-21 ini, kerajaan dan negara-negara tidak boleh duduk diam dan melakukan kerja mengikut cara lama, sebaliknya kerajaan yang bertanggungjawab harus merubah dasar-dasar mengikut perubahan masa untuk kesejahteraan rakyat.

“Mungkin lebih mudah untuk tidak memperkenalkan cukai baharu, walaupun sekadar menggantikan cukai yang lama, kerana ia seperti suatu gangguan,” katanya.

Beliau berkata, usaha tersebut bukan semata-mata kerajaan mahu meluaskan asas cukai, tetapi merupakan satu daripada alasan mengapa lebih 160 negara di seluruh dunia mempunyai suatu bentuk percukaian GST.

Katanya, jika kerajaan tidak mengubah dasar-dasar sedia ada, Malaysia akan kehilangan daya saing dan dipotong oleh negara lain.