Pengerusi SEDC, Tan Sri Abdul Aziz Husain berkata, objektif MoU tersebut bagi mengenal pasti dan membangunkan tanah serta hartanah milik syarikat itu, di samping memacu pelaburan dan perkembangan ekonomi di Sarawak.

“MoU ini merangkumi kolaborasi dalam penyelidikan, pertukaran maklumat, teknologi, potensi usaha sama dalam pengurusan pembangunan hartanah, pengurusan tanah dan industri leisure meliputi rekreasi, hiburan, sukan serta pelancongan.

“UDA menjadi rakan strategik kita kerana sudah berjaya membuktikan kemampuan dalam membangunkan beberapa harta­nah utama di Semenanjung,” katanya berucap dalam majlis tersebut di sini hari ini.

Yang turut hadir Pemangku Pengurus Besar SEDC, Rakayah Hamdan; Timbalan Pengurus Besar Sektor Komersialnya, Edwin Abit; Pengerusi UDA, Datuk Seri Dr. Mohd. Shafei Abdullah; Peng­arah Urusan UDA, Datuk Ahmad Abu Bakar dan Ketua Pegawai Operasi, Pembangunan Perniagaan dan Legasinya, Nordin Murat.

Menurut Abdul Aziz, perjanjian itu dijangka merancakkan lagi pembangunan SEDC dalam sektor hartanah, di samping dapat membantu kontraktor bumiputera yang berpotensi dari kelas F untuk menjadi kelas A, B dan C menerusi projek pembangunan yang akan dilaksanakan.

Sementara itu, Mohd. Shafei memberitahu, MoU itu dipercayai akan memberi manfaat kepada rakyat dan pembangunan negeri ini.

“Melalui pengalaman dan kepakaran dimiliki UDA sejak ditubuhkan 47 tahun dulu, kami yakin dapat menyumbangkan sesuatu kepada SEDC dan Sarawak secara amnya.

“Saya percayai kolaborasi ini dapat menjadi pemangkin dalam menarik lebih banyak pemain industri daripada segi pelaburan dan peluang perniagaan nanti,” ujarnya.