Ketua Pegawai Eksekutif Sedania Innovator Bhd., Daniel Bernd Ruppert

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Daniel Bernd Ruppert berkata, prestasi syarikat pada tahun lepas disebabkan perolehan rendah dan kerugian bukan tunai berkaitan kemerosotan perdagangan dan pajakan kewangan belum terima.

“Penurunan keuntungan sebenarnya disebabkan jualan rendah, terutamanya daripada segmen internet untuk segala-galanya (IoT) dan teknologi hijau (greentech),” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu di sini hari ini.

Ruppert berkata, syarikat turut menerima kesan daripada pelaksanaan peraturan Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia Sembilan (MFRS 9) berhubung akaun belum terima.

Pada tahun lepas, Sedania mencatatkan kerugian selepas cukai sebanyak RM4.36 juta berbanding keuntungan selepas cukai sebanyak RM1.57 juta pada tahun kewangan 2017.

Portfolio perniagaan syarikat teknologi itu merangkumi teknologi kewangan (fintech), IoT, greentech, platform perkongsian dan Analisis Data Raya.

Mengenai prospek, Ruppert berkata, Sedania terus berhati-hati dengan prospek perniagaan.

“Sumbangan positif yang berterusan daripada segmen fintech dan (prospek daripada) inovasi baharu yang dijangka memasuki pasaran pada suku keempat 2019 adalah menggalakkan.

“Prospek segmen IoT turut dijangka meningkat pada tahun ini. Sedania juga mencatat kemajuan yang baik dalam segmen greentech walaupun kelewatan dalam projek tertentu disebabkan lanjutan tempoh pelaksanaan,” katanya. - BERNAMA