Pada mulanya agak pelik juga, tetapi saya tahu sekiranya satu perkara ini tidak wujud mereka tidak akan menghubu­ngi saya. Apakah benda tersebut?

Kadar jualan mereka yang tepu atau semakin berkurang.

Keadaan menjadi tepu kera­na para pelanggan berbayar yang ada sekarang tidak ingin berbelanja lagi untuk produk baharu, atau mereka ingin mengurangkan apa yang telah digunakan selama ini.

Dalam pada masa yang sama, syarikat tidak mampu untuk mendapatkan pelanggan-pe­langgan berbayar baharu. Apabila situasi getir ini wujud, atau dirasai akan berlaku dalam masa terdekat, biasanya pihak pengurusan akan cepat-cepat mencari jalan penyelesai­an agar impak tidak akan dirasai syarikat.

Beberapa penyelesaian ja­ngka pendek dan sederhana akan diwujudkan seperti me­ngurangkan elaun tertentu, me­nge­tatkan pengeluaran kos­ yang berlebihan, langkah-langkah penjimatan yang sesuai, memperkenalkan skim komi­sen, langkah penyumberan luar, faktor gaji setiap orang akan disentuh sekiranya tiada pilihan lain dan akhir sekali pengurangan kakitangan agar syarikat terus hidup.

Pelan jangka sederhana dan jangka panjang pula akan melibatkan proses yang berkaitan dengan mengenali kembali syarikat secara lebih terperinci. Biasanya ia akan mengambil sedikit masa, bergantung kepada berapa cepat proses me­ngenali syarikat itu dapat dise­lesaikan. Proses ini dikenali sebagai penjenamaan semula.

Maklumlah, syarikat-syarikat gergasi sebegini telah lama wujud dan mereka telah mengecapi zaman kegemila­ngan dahulu dengan pendapatan daripada jualan mencecah beratus-ratus juta ringgit setiap tahun. Apabila perkembangan menjadi pesat, struktur organi­sasi dalam menjadi semakin kompleks.

Setelah berpuluh-puluh ta­hun berkembang, tiba-tiba pada tahun 2018 dinamik dunia perniagaan kini agak berlainan pula menjadikan syarikat-syarikat ini tidak lagi relevan sekiranya tidak berubah. Perubahan mengikut zaman ini amat pen­ting untuk mereka terus ‘hidup’.

Ini menjadikan penjenamaan semula agak sukar dilakukan pada mulanya, tetapi tidak mustahil. Mengapa ia sukar pada mulanya? Ia kerana para pengguna di luar sana sudah mengenali jenama syarikat-syarikat besar ini dan mempunyai perspektif yang tertentu apabila jenama mereka disebut. Untuk menukar perspektif tadi, walaupun perubahan pada nama dan logo dilakukan, ia tetap akan mengambil masa.

Keadaan akan menjadi lebih sukar apabila produk yang ditawarkan oleh syarikat tidak lagi relevan, atau tidak lagi diperlukan oleh para pengguna dalam era ini. Jadi, beberapa strategi dalaman perlu dilakukan terlebih dahulu dan beberapa keputusan sukar perlu diambil oleh pihak pengurusan dan ahli lembaga pengarah syarikat.

Dalam aspek pemasaran, tanpa produk yang baik dan berkualiti tinggi, walau sehebat mana pun strategi pemasaran dilakukan, ia tidak akan pergi jauh. Sebanyak 90 peratus daripada sebab mengapa para pengguna memilih untuk membeli produk tertentu ialah kerana kualiti produk itu sendiri.

Ia memberikan pengalaman manis kepada pengguna, dan mereka ingin mengecapi pengalaman manis yang sama setiap masa. Cuma 10 peratus sahaja sebab mereka membeli ialah daripada faktor pemasaran yang dilakukan.

Syarikat-syarikat ini juga agak leka ketika zaman kege­milangan mereka dahulu. Pa­su­kan pemasaran mereka tidak peka dengan isyarat-isyarat yang ditunjukkan oleh pasaran yang zaman kegemilangan sebegini akan berakhir pada sampai masanya. Mungkin juga pasukan pemasaran mereka bukan sebenarnya berlatar-belakangkan pemasaran, tetapi dipinjamkan daripada bahagian-bahagian lain untuk duduk di jabatan pemasaran. Ini juga mungkin salah satu daripada faktor penyebab.

Sekiranya proses perubahan dan penjenamaan serta pemasaran dibuat perlahan-lahan sedikit demi sedikit mengikut dinamiknya dunia perniagaan tahun ke tahun, saya pasti jualan mereka tidak akan me­ngalami ketepuan dan kejatuhan seperti sekarang. Tidak mengapa, penjenamaan semula dan pemasaran dengan menggunakan teknik baharu tidak mustahil dan boleh dilakukan.

Selain daripada ingin mendapatkan momentum yang baik daripada proses penjenamaan baharu ini, hasilnya juga akan mengambil sedikit masa untuk dilihat. Kesemua ini amat bergantung kepada berapa cepat mesej jenama baharu tadi akan dapat difahami oleh para pengguna di luar sana, berapa cepat mereka akan memberikan respon dan berapa cepat tabiat baharu mereka yang menggunakan produk atau perkhidmatan tersebut dalam kehidupan harian atau profesional mereka.