ZULKARNIN ARIFFIN
ZULKARNIN ARIFFIN

Pengarah Urusan Kumpulan Seacera, Zulkarnin Ariffin berkata, walaupun sasaran yang dile­takkan adalah sama seperti yang telah direkodkan pada tahun kewang­an 2016, namun pihaknya yakin sasaran berkenaan adalah langkah tepat dan realistik.

Jelas beliau, Seacera masih meneruskan proses pengambilalihan tanah di Kajang yang berkeluasan kira-kira 202 hektar dengan ketika ini sudah pun memperoleh separuh daripadanya.

Katanya, syarikat telah memperuntukkan perbelanjaan modal sebanyak RM160 juta untuk membeli sebahagian lagi tanah berke­naan.

“Proses pengambilalihan berkenaan dijangka selesai tidak lama lagi dan kami juga akan menyelesaikan proses pencarian rakan kerjasama bagi membangunkan projek bercampur di atas tanah tersebut menje­lang penghujung tahun ini de­ngan nilai pembangunan kasar (GDV) RM10 bilion.

“Perancangan Seacera lebih kepada pertumbuhan masa depan iaitu dalam tiga hingga lima tahun lagi terutama apabila kami mula bangunkan projek hartanah dan kilang pengeluaran baharu seluas 13 hektar di Estet Perindustrian Kamunting, Perak siap dalam separuh kedua 2018,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Seacera merupakan syarikat bumiputera yang juga antara pelopor industri jubin sejak 1987 dan mula disenaraikan dalam Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd. pada tahun 1999.

Portfolio perniagaan Seacera ketika ini merangkumi aktiviti pengeluaran jubin sebanyak 50 peratus dan pembinaan juga kira-kira 50 peratus.

Dalam pada itu, Zulkarnin berkata, Seacera juga sedang meneroka peluang untuk meluaskan lagi pasaran eksport terutama ke pasaran negara baharu seperti negara-negara di benua Afrika.

Katanya, pasaran Afrika dilihat mempunyai prospek yang baik dengan ketika ini syarikat telah pun memulakan langkah dengan mengeksport produk jubin ke Afrika Selatan.

“Pembinaan kilang pengeluaran jubin baharu akan dapat membantu kami meningkatkan jumlah dan meluaskan pasaran eksport kerana berupaya meningkatkan kapasiti penghasilan jubin sebanyak empat kali ganda kepada 24,000 meter persegi setiap hari,” katanya.