Platform tersebut mengandungi tiga aplikasi iaitu EcoStruxure Teknologi Maklumat (IT), EcoStruxure Bangunan dan EcoStruxure Platform Perisian Industri yang dapat memenuhi keperluan inovasi industri serta perniagaan di semua peringkat.

Pelancaran platform tersebut dibuat sempena Sidang Kemuncak Inovasi Schneider Electric 2017 di sini.

Pelancaran itu juga mengukuhkan lagi komitmen Schneider terhadap pemuliharaan alam sekitar dan perubahan iklim (COP 21) serta sasaran menjadi syarikat neutral karbon menjelang tahun 2030.

Pengerusi merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Schneider Electric, Jean-Pascal Tricoire melancarkan platform tersebut di hadapan lebih 1,000 perwakilan terdiri daripada para pelanggan syarikat itu dari seluruh dunia.

Dalam ucapannya, Tricoire berkata, kebangkitan ekonomi digital baharu telah berlaku di dalam semua pasaran di mana Internet of Things (IoT) atau Internet Saling Berhubung, kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan mempercepatkan proses berkenaan.

Beliau berkata, kebangkitan itu juga membawa peluang sangat besar kepada syarikat-syarikat untuk menjadi lebih efisien di dalam pengurusan kos dan operasi mereka.

Sebagai contoh katanya, penggunaan digital secara mampan dalam pengurusan bangunan mampu memberi penjimatan le­bih 30 peratus kepada syarikat.

“Misi kami adalah mudah, kami membekalkan teknologi digital terbuka dan praktikal yang membolehkan peralihan ini berlaku serta idea-idea berani pelanggan kami dikuasakan oleh ekonomi digital,” katanya di sini, semalam.

Menurut Tricoire, revolusi pendigitalan akan menyaksikan pertumbuhan ekonomi digital berlaku dengan lebih pantas.

“Ini kerana, semua orang akan mempunyai akses dan boleh bertukar-tukar maklumat dengan lebih mudah serta pantas melalui kewujudan pusat data yang diintegrasikan,” katanya.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, beliau menjelaskan, EcoStruxure bukan saingan kepada mana-mana platform dihasilkan syarikat-syarikat lain, sebaliknya ia merupakan saling membantu dalam memacu pertumbuhan ekonomi digital.

EcoStruxure IT menawarkan generasi akan datang pengurusan infrastruktur pusat data berasaskan awan untuk membuat analisa pada masa sebenar.

EcoStruxure Bangunan pula merupakan gabungan aplikasi pintar dan sistem seni bina terbuka yang membantu para pemaju berinteraksi serta bertukar-tukar data seterusnya meningkatkan kecekapan lebih 30 peratus.

EcoStruxure Platform Perisian Industri adalah kombinasi kebolehan berskala dan kepakaran domain yang membolehkan pekerja bekerja sama, mengurangkan kos pemilikan tanpa mengabaikan aspek risiko, keselamatan data dan prestasi. – UTUSAN