Sejak 2011 hingga kini, nilai pelaburan yang telah diluluskan telah mencecah RM18.98 bilion, sekali gus mengatasi RM9 bilion nilai pelaburan yang dijangka diraih sehingga 2015.

Malaysian Biotechnology Corporation (BiotechCorp) menjangkakan, nilai untuk fasa kedua itu akan lebih tinggi daripada RM18.98 bilion berdasarkan beberapa pelaburan baharu yang sedang dinilai oleh pihaknya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr. Mohd. Nazlee Kamal berkata, untuk fasa ketiga iaitu antara tempoh 2016 hingga 2020 pihaknya menjangka nilai pelaburan yang diluluskan boleh mencecah RM15 bilion.

Namun, disebabkan prestasi yang dicapai untuk fasa kedua juga sudah melebihi RM15 bilion, pihaknya bersedia merangka semula nilai pelaburan untuk fasa seterusnya, kata beliau.

“Sikap mesra pelabur, kestabilan politik dan fokus yang baik membuatkan industri ini berkembang baik. Selain kehadiran pelabur-pelabur asing, syarikat tempatan juga giat menceburi bidang berasaskan bio. Kesemua itu mengatasi sasaran yang dibuat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian pembukaan Persidangan BioMalaysia dan Bioekonomi Asia Pasifik 2014, yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Ewon Ebin, Pengerusi BiotechCorp, Prof. Tan Sri Dr. Zakri Abdul Hamid, Naib Canselor UM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Amin Jalaludin dan Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Noorul Ainur Mohd. Nur.

Dasar Bioteknologi Negara telah dimulakan pada 2005 merangkumi tiga fasa. Fasa ketiga yang bermula 2016 hingga 2020 dengan fokus menjadikan Malaysia sebagai pemain utama industri bioteknologi dunia.

Jelas Mohd. Nazlee, setakat ini mengikut nisbah bilangan syarikat yang melabur di dalam industri bioteknologi itu adalah 50:50, namun dari segi nilai pelaburan syarikat-syarikat asing masih menguasai sebahagian besar nilai tersebut.

Sementara itu, semasa perasmian persidangan itu juga enam pertukaran dokumen dilakukan antara BiotechCorp dengan agensi dan syarikat tempatan bagi menggalakkan lagi perkembangan industri bioteknologi negara.

Antara dokumen itu membabitkan kerjasama antara Bio-XCell dan Verdezyne dengan nilai pelaburan RM250 juta , cadangan kerjasama antara BiotechCorp dengan Pusat Kecemerlangan Sains Hidupan Thailand dan kerjasama BiotechCorp dan Gas Malaysia untuk membangunkan potensi biogas.