Salahuddin Ayub
Salahuddin Ayub 

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, kadar baharu itu adalah peningkatan sebanyak lima peratus berbanding 70 peratus ketika ini.

Langkah itu kata beliau, selaras dengan usaha kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan negara terhadap beras import.

"Kita juga insya-Allah akan meningkatkan pendekatan teknologi kita dengan kaedah 'soil profiling', mengguna baja sesuai dan varieti yang kita rasa boleh digunakan untuk meningkatkan pengeluaran," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Amanat 2019 Bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani di sini hari ini.

Dalam pada itu, Salahuddin memberitahu, usaha memastikan tanah-tanah jelapang padi di negara ini kekal bukan hanya tugas kementerian kerana urusan hak tanah adalah di bawah pihak kerajaan negeri.

Sehubungan itu kata beliau, terpulang kepada negeri-negeri untuk membuat keputusan sewajarnya.

"Kita mengesyorkan dan saya membangkitkannya dalam banyak mesyuarat supaya kerajaan negeri mengambil inisiatif untuk mewartakan tanah-tanah jelapang untuk mengelakkan ia semakin mengecil.

"Ada negeri yang berikan tanah-tanah mereka untuk dijadikan jelapang baharu. Itu kita sangat alu-alukan " katanya.

Ditanya berhubung kajian semula Dasar Monopoli Padiberas Nasional Bhd (Bernas), Salahuddin menjelaskan, Kabinet telah menubuhkan satu jawatankuasa khas melibatkan lapan kementerian yang diketuai Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Kata beliau, jawatankuasa khas itu kini dalam proses untuk menentukan model terbaharu berkaitan lantikan Bernas.

"Kami tidak perlu tergopoh-gapah kerana tempoh konsesi Bernas akan tamat pada 2021. Ini isu besar kepada negara dan perlu dilihat secara realistik.

"Kita perlu teliti semua model yang dikemukakan dan kita telah menjemput pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan serta pemain-pemain industri individu untuk mengemukakan pandangan masing-masing," katanya. - UTUSAN ONLINE