Pengarah Urusan Kumpulan Dewina Holdings Sdn. Bhd., Nur Fatin Ibrahim berkata, pek kembara itu pada peringkat awal hanya akan diedarkan di Brahim’s Shoppe di Bandar Baru Bangi, di 50 koperasi dan kedai-kedai terpilih.

Beliau berkata, pihaknya mahu meningkatkan jumlah pengedar secara berperingkat kepada 150 pengedar dalam tempoh setahun di seluruh negara memandangkan ia mampu memberi kelainan kepada pengembara.

“Kami melancarkan produk ini bagi meneroka pasaran aktiviti lasak dan pelancong­an apatah lagi ia bersesuaian dengan generasi muda.

Selain aktiviti luar, kami juga mendapat maklum balas dan permintaan menggalakkan daripada persatuan pendaki dan pengembara untuk membekalkan produk berkaitan sebagai bekalan makanan.

“Ini memberi keyakinan kepada kami bahawa pelancaran pek kembara ini dapat menambah nilai kepada rangkaian produk sedia ada,” katanya selepas majlis pelancaran Pek Kembara Brahim’s di Bangi, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Dewina Holdings Sdn. Bhd., Datin Seri Dr. Hiryati Abdullah dan Pengurusan Pemasaran dan Jualan Dewina Tra­ding Sdn. Bhd., Mohamad Fazil Othman.

Rangkaian produk baharu itu terdiri daripada set seha­rian ayam berharga RM30, set seharian daging (RM33) dan satu set lengkap (RM14). Pek itu menyediakan pelbagai menu daripada sarapan pagi hinggalah makan malam lengkap dengan set minuman dan sudu garfu.

Menurut Nur Fatin, pengenalan produk untuk pengembara atau pendaki itu turut mengukuhkan sumbangan perolehan produk penggunanya kepada syarikat sekitar 60 peratus berbanding segmen makanan tentera seba­nyak 40 peratus.

“Pek kembara ini mempunyai teknologi pembungkusan sama seperti pek makanan tentera yang juga satu daripada segmen perniagaan syarikat. Jadi, ia sesuai untuk dibawa ketika mengembara atau dalam aktiviti lasak se­perti mendaki gunung, berkhemah mahupun melancong,” katanya.