Pengarah Eksekutif, Pelaburan dan Pengarah Eksekutif Penyeliaan, Khazanah Turkey Regional Office, Datuk Mohd. Izani Ghani berkata, pelaburan itu boleh dipelbagaikan, kecuali sektor minyak dan gas serta perladangan yang sememangnya tidak disertai syarikat pelaburan strategik kerajaan itu.

"Kami sudah pun bertapak kukuh di Turki menerusi pelbagai pelaburan seperti hospital dan lapangan terbang. Malah, kami boleh perluaskan perniagaan penjagaan kesihatan ke sini (Asia Te­ngah).

"Syarikat ini sudah melabur dalam hospital di Malaysia, Si­ngapura, Hong Kong dan tidak lama lagi di China. Lebih baik lagi jika kami dapat bertapak di semua lokasi geografi dan Asia Tengah memang menjadi tumpuan kami," katanya kepada Bernama di luar Forum Perniagaan Tenaga Malaysia-Kazakhstan di sini hari ini.

Beliau merupakan ahli panel bagi Sesi 1 bertajuk Investment Opportunities and Collaborations Between Malaysia and Kazakhstan (Peluang Pelaburan dan Kerjasama Antara Malaysia dan Kazakhstan) dengan Duta Besar Malaysia ke Kazakhs­tan, Syed Mohamad Bakri Syed Abd. Rahman bertindak sebagai perantaranya.

Mengulas lanjut, Mohd. Izani juga tidak menolak kemungkinan pelaburan di Kazakhstan iaitu rakan dagang keempat terbesar Malaysia dalam kalangan Komanwel Negara-Negara Merdeka.

"Pihak dana Kazakhstan pernah mengunjungi pejabat kami dalam usaha memahami langkah transformasi yang kami laksanakan. Mesyuarat itu le­bih kepada penglibatan perniagaan," katanya.

Sementara itu, forum perniagaan sehari itu diadakan bersempena penyertaan Malaysia di acara Astana EXPO 2017 yang diuruskan oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

Acara itu turut menyediakan platform unik bagi orang ramai dan sektor swasta meninjau pe­luang perniagaan pada sesi padanan perniagaan di Pavilion Malaysia.

Ini termasuk perbincangan yang mengetengahkan kekuatan Malaysia dalam pelbagai lapa­ngan tenaga, teknologi hijau dan ekonomi. – BERNAMA