Menterinya, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, langkah tersebut sejajar usaha kerajaan agar seluruh 5.8 juta hektar tanaman sawit memperoleh pensijilan itu sebelum 2020 dalam meningkatkan kebolehpasaran industri berkenaan di peringkat antarabangsa.

“Sehingga bulan lalu, sejumlah 758,823 hektar dan 70 kilang te­lah menerima pensijilan sejak kerajaan bersetuju untuk memandatorikan persijilan itu pada Mei 2017.

“Ini termasuk 49 kluster pekebun kecil persendirian dengan kawasan tanaman seluas 9,521 hektar, tujuh pekebun kecil tersebut dan 260 buah ladang sawit,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penghargaan MSPO di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Setia­usaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk K.Yogeesvaran dan Pengerusi Lembaga Amanah Majlis Pensi­jilan Minyak Kelapa Sawit Malaysia (MPOCC), Datuk M.Nagarajan.

Pada masa sama, Siew Keong berkata, MSPO adalah penting bagi pemerkasaan industri kelapa sawit kerana perakuan itu menekankan penambahbaikan dan perkembangan amalan terbaik selari tahap antarabangsa.

Ujarnya, kerajaan telah memperuntukkan insentif seba­nyak RM150 juta kepada pekebun kecil untuk mendapat pensijilan MSPO bagi me­ringankan beban kewangan mereka di samping mencapai pelaksanaan mandatori MSPO di seluruh negara menjelang 31 Disember 2019.