Penubuhan syarikat yang akan bekerjasama dengan Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) dalam menerokai minyak dan gas di per­airan Sarawak itu diumumkan oleh Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg semasa majlis makan malam sempena hari kelahirannya yang ke-67 anjuran kakita­ngan pejabatnya di sebuah hotel di sini malam tadi.

Menurutnya, pembentukan Petros adalah usaha baharu diambil oleh kerajaan negeri untuk membolehkan Sarawak terlibat secara aktif dalam penerokaan minyak dan gas, sementara me­nunggu tuntutan kenaikan 20 peratus royalti daripada Petronas dipenuhi.

“Malam ini, saya ingin memberitahu anda bahawa kami (Sarawak) secara rasmi telah membentuk syarikat minyak kami, Petros,” ujarnya dalam ucapan pada majlis tersebut.

Yang turut hadir isterinya, Datin Amar Juma'ani Tuanku Bujang; Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Setiausaha Kerajaan Nege­ri, Tan Sri Mohamad Morshidi Ghani; Menteri Utiliti ne­geri, Datuk Dr. Stephen Rundi Utom; Menteri Pendidikan, Sains dan Teknologi negeri, Datuk Seri Michael Manyin Jawong dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Prof. Dr. Sim Kui Hian.

Cadangan menubuhkan Petros diumumkan oleh Abang Johari dalam ucapan semasa Majlis Iftar bersama rakyat Sarawak di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur pada 11 Jun lalu.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, semua Ahli Lembaga Pengarah syarikat terbabit telah dilantik dan mereka terdiri dalam kala­ngan profesional Sarawak yang memiliki pengalaman luas dalam industri minyak dan gas tetapi tiada seorang pun merupakan ahli politik.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan nama-nama yang dipilih menganggotai senarai lembaga pengarah, Pengerusi atau Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Petros.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan bahawa kerajaan negeri telah melantik CEO bagi Bank Pembangunan Sarawak (DBOS) yang baru ditubuhkan dan bakal memulakan operasi dalam tempoh terdekat.

"Semua Ahli Lembaga DBOS bukan ahli politik. Di bawah Penge­r­u­sinya, Tan Sri Mohamad Morshidi, mereka merupakan golo­ngan profesional yang akan menguruskan aktiviti bank untuk membangunkan negeri ini," ujarnya tanpa mendedahkan nama CEO yang dipilih.

Dalam perkemba­ngan lain, Abang Johari memberitahu, usaha juga sedang dilakukan untuk memperkukuhkan sumber manusia di negeri ini dengan memberi peluang kepada anak-anak Sarawak untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah di dalam dan luar negara.

Katanya, beliau selaku Pengerusi Yayasan Sarawak bersetuju meningkatkan biasiswa dan pinjaman kepada pelajar yang layak memasuki universiti tempatan dan luar negara.