Menurut Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Lee Kim Shin, kedatangan tersebut disumbangkan dari pasaran Britain, Jerman, China, Australia, Benelux (Belgium, Netherlands dan Luxembourg) dan ASEAN.

Katanya, negara ASEAN menjadi penyumbang utama pelancong yang menyaksikan 48.9 peratus iaitu 2.38 juta kehadiran mereka ke Sarawak pada tahun lalu.

“Penambahan penerbangan terus Singapura-Kuching menerusi syarikat penerbangan Scoot, Malaysia Airlines dan Air­Asia memberikan 600 tempat duduk setiap hari.

“Justeru itu, Singapura akan menjadi hab sentral bagi strategi pemasaran STB dengan kerajaan negeri membuka pejabatnya di Singapura pada tahun hadapan,”katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Logo Tahun Melawat Sarawak di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif STB, Sharzede Salleh Askor, Kaunselor Pesuruhjaya Malaysia di Singapura, Engku Puteri Suraya Engku Mohd. Affandi, Pengarah Tourism Malaysia Singapura, Edzuar Zar dan Pengurus Besar Pemasaran Malaysia Airport Holding Berhad, Mohamed Sallauddin.

Mengulas lanjut, Kim Shin memberitahu, peningkatan 16.5 peratus kedatangan pelancong berjaya direkodkan dari Januari hingga Julai lalu yang menjadi petunjuk baik minat pelancong berkembang di pasaran negara Kota Singa itu.

“Pakej percutian tiga hari dua malam ke Sarawak menjadi kege­maran pelancong Singapura terutama bahagian tengah Sarawak dari Sibu, kawasan hilir Batang Rejang, Kapit dan Bintulu.

“Rakyat Singapura akan disediakan pakej pelancongan baharu dengan ditawarkan harga kompetatif menumpukan pada kebudayaan, lasak, alam sekitar, makanan dan festival (CANFF),” jelasnya.

Sementara itu, Sharzede berkata, aspek digital akan memainkan bahagian besar dalam kempen Tahun Melawat Sarawak itu nanti.

“Selain mewujudkan platform dan kandungan digital bagi mencapai kepada pasaran, kita juga akan membangunkan aplikasi mobil bagi kemudahan pelancong dalam meneroka lebih banyak di Sarawak,” jelasnya.