Pelancaran dilakukan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bersempena sambutan Hari Per­khidmatan Awam Sarawak 2017 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini hari ini, disaksikan lebih 5,000 penjawat awam.

Menurut Abang Johari, SMA menjadi badan pusat yang akan mengawasi dan mengawal selia strategi serta inisiatif digital di negeri ini.

“Keanggotaan SMA terdiri daripada Ketua Menteri sebagai Pengerusi, tiga ahli majlis iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Peguam Negara dan Setiausaha Kewangan Negeri, tidak kurang daripada lima dan tidak lebih daripada tujuh anggota lain yang mempunyai pengalaman, pengetahuan atau kepakaran terbukti dalam komunikasi dan multimedia,” katanya berucap pada majlis tersebut.

Abang Johari berkata, SMA yang diluluskan dalam mesyuarat akhir Persidangan Dewan Undangan Negeri pada November lalu, mempunyai 16 fungsi.

Beliau berkata, antara fungsi SMA ialah menasihati kerajaan mengenai semua perkara berkaitan dengan objektif dasar negeri berhubung aktiviti komunikasi dan multimedia untuk membangunkan ekonomi digital merangkumi pembangunan infrastruktur digital, keselamatan siber, pembangunan bakat, e-dagang, penyelidikan dan pembangunan dalam teknologi digital, inovasi digital dan keusahawanan serta kerajaan digital.

“Badan ini juga bertanggungjawab melaksana dan menguat­kuasakan peruntukan undang-undang negeri berkaitan dengan apa-apa aktiviti komunikasi dan multimedia.

“Mempertimbang dan me­ng­e­­syorkan pembaharuan kepada undang-undang negeri berkaitan dengan apa-apa aktiviti komunikasi dan multimedia,” katanya.

Mengenai Ekonomi Digital Sarawak 2018-2022 pula, beliau memberitahu, terdapat 47 tindakan strategi transformasi ekonomi digital terkandung dalam rancangan lima tahun itu.

Katanya, ia merangkumi 29 tindakan strategi bagi sektor ekonomi iaitu dalam bidang pertanian, industri pengelua­ran 4.0, pelancongan, bandar pintar (infrastruktur fizikal dan utiliti, perumahan dan pem­bangunan bandar, pengangkutan, logistik dan rantaian bekalan), kesihatan digital, e-dagang, kerajaan digital dan sosial.

“Terdapat juga 18 tindakan strategi pemangkin merangkumi infrastruktur digital, kemahiran digital dan pembangunan bakat, kajian dan pembangunan ekonomi digital, inovasi digital dan keusahawanan, di­gital dan data, keselamatan siber dan keterangkuman digital.

“Tindakan-tindakan strategi ini telah menetapkan hala tuju Sarawak untuk melonjak ke dalam ekonomi digital, sekali gus menjadi barisan hadapan dalam dunia digital,” ujarnya.