Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Sapura Energy, Tan Sri Shahril Shamsudin berkata, kumpulan membuat keputusan pelaburan akhir (FID) untuk membangunkan fasa pertama Kontrak Perkongsian Pengeluaran SK408 setelah mendapat kelulusan daripada Petroliam Nasional Bhd. (Petronas).

“Pembangunan lapangan gas SK408 ini akan mengukuhkan kedudukan Sapura Energy di Malaysia sebagai rakan kongsi dan pembekal gas asli utama ke satu daripada kemudahan pengeluaran gas asli cecair (LNG) terbesar dunia, kompleks Petronas MLNG di Bintulu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Shahril memberitahu, lapangan di bawah projek pembangunan lapangan gas SK408 itu merupakan sebahagian daripada penemuan yang dibuat oleh Sapura E&P dalam kempen penggerudian pada 2014.

“Lapangan ini akan dibangunkan kepada tiga platform tongkang berasingan yang disambungkan kepada kemudahan pemprosesan sedia ada dan juga kepada kompleks MLNG,” jelas beliau.

Katanya, lapangan gas SK408 itu akan menjadi projek pembangunan gas huluan utama kedua buat Sapura E&P selepas kejayaan pembangunan dan pengeluaran di lapangan gas SK310 B15.

“FID ini merupakan satu pencapaian penting ketika Sapura Energy terus berkembang memanfaatkan nilai di lapangan gas, yang seterusnya memberi gambaran lebih jelas tentang pelan penjanaan pendapatan dalam jangka panjang.

“Dengan tambahan kawasan penerokaan baharu di Mexico dan New Zealand baru-baru ini, kumpulan telah berjaya mempelbagaikan segmen dari segi geografi dengan portfolio seimbang dalam seluruh fasa eksplorasi, pembangunan dan penge­luaran,” ujarnya.

Sapura E&P adalah pengendali pembangunan dan pengeluaran di lapangan Larak dan Bakong, sementara Sarawak Shell adalah pe­ngendali di Lapangan Gorek.