Kaunter syarikat telekomunikasi tersebut merupakan antara kaunter paling rugi dengan sahamnya merosot 1.86 peratus atau enam sen kepada RM3.16 sesaham.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, TM berkata, pihaknya menerima writ saman dan kenyataan tuntutan daripada MFL memohon relif bagi penamatan perjanjian penajaan untuk tempoh lapan tahun bernilai RM480 juta yang ditandatangani pada Februari 2018.

“Tuntutan itu dijangka tidak mempunyai sebarang kesan terhadap operasi Kumpulan TM. Kesan terhadap kewangan, sekiranya ada, tidak dapat ditentukan pada ketika ini kerana ia akan bergantung kepada keputusan prosiding undang-undang berhubung tuntutan itu.

“Kami telah mengarahkan peguam kami mengambil langkah perlu untuk mempertahankan syarikat daripada tuntutan itu,” katanya.

PublicInvest Research berkata, tuntutan undang-undang bernilai RM480 juta yang dikemukakan MFL terhadap TM untuk penamatan penajaannya kelihatan tidak realistik.

“Pada pendapat kami, jumlah keseluruhan kelihatan agak tidak realistik kerana kami beranggapan TM telah menilai risiko dan mengambil kira terma serta syarat yang diperlukan sebelum menamatkan kontrak,” katanya.

Pada masa ini, PublicInvest mengekalkan ramalan perolehan teras TM, walaupun ia melihat risiko menurun bagi keuntungan utama sekiranya TM gagal mempertahankan dirinya.

“Walaupun kami me­nge­kal­kan penarafan Neutral kami terhadap TM, kami percaya ini boleh menarik prestasi harga saham dalam jangka masa terdekat kerana prosiding undang-undang boleh memakan masa yang lama dan penyelesaian adalah tidak mungkin dapat dicapai dalam masa terdekat,” katanya.

MFL dalam satu kenyataan semalam, memaklumkan tindakan undang-undang berkenaan diambil terhadap TM demi melindungi kepentingan pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia.

“Jumlah dituntut oleh kami terhadap TM di bawah kontrak penajaan bersama adalah melebihi RM400 juta dan saman tersebut juga disampaikan kepada peguam cara TM pada hari ini.

“Memandangkan perkara ini dirujuk kepada proses undang-undang, kami tidak akan memberi sebarang komen lanjut terhadap perkara ini dan menyerahkan pertikaian ini untuk diputuskan di mahkamah,” jelas MFL.

Kedua-dua pihak dilaporkan menandatangani perjanjian untuk tempoh lapan tahun bermula dari Januari 2018 sehingga 2025.