Tambahan lagi jika mahasiswa memilih untuk menjadi seorang usahawan sebagai karier selepas menjadi graduan, pasti mereka akan di label sebagai seorang yang gagal dalam pelajaran, malas mencari kerja dan sebagainya.

Mungkin ada sesetengah pihak yang tidak bersetuju apabila mahasiswa menceburkan diri dalam bidang perniagaan kerana pada pendapat mereka, mahasiswa perlu fokus kepada tanggungjawab hakiki iaitu belajar dan bersedia untuk bekerja setelah tamat belajar.

Tanggapan negatif kepada mahasiswa

Saya sebagai seorang mahasiswa yang bergiat aktif dalam perniagaan bermula dari awal pengajian langsung tidak merasakan salah untuk mahasiswa berniaga di samping belajar.

Kalau diikutkan, saya mula menceburi perniagaan bermula sejak sekolah menengah namun pada ketika itu saya hanya menjalankan perniagaan secara suka-suka.

Ibu saya juga seorang usahawan dan menjalankan perniagaan pakaian di Kota Bharu Kelantan, jadi setiap kali cuti semester, saya akan menemani ibu di kedai beliau iaitu Azlina Thaqif Enterprise.

Bermula dari situ saya mula sedar yang saya mempunyai minat yang mendalam dalam perniagaan dan keghairahan berniaga tersebut datangnya secara semula jadi.

Walaupun saya mempunyai minat dalam berniaga, namun saya tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang pelajar dan saya berjaya mendapat keputusan yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan melayakkan saya ke Asasi Sains Pertanian UPM.

Kini saya seorang mahasiswa ijazah di UPM. Jadi tanggapan bahawa mahasiswa yang terlibat dengan perniagaan pasti akan gagal dalam pelajaran perlu ditolak ke tepi.

Efektif dalam pengurusan masa

Saya akui mungkin tanggapan tersebut wujud apabila mahasiswa itu sendiri mendapat keputusan yang tidak cemerlang dalam peperiksaan.

Jadi mahasiswa yang terlibat dengan perniagaan perlu bijak dalam menguruskan masa antara belajar dan menguruskan perniagaan.

Menjadi mahasiswa dan usahawan dalam masa yang sama mungkin agak padat dengan banyak perkara, jadi untuk memastikan tidak tercicir dalam pelajaran dan cemerlang dalam perniagaan, sebagai contoh saya akan membuat ‘senarai perlu buat’ setiap hari.

Hal ini bukan sahaja membantu saya dalam menguruskan masa dan aktiviti, malah turut melatih sifat kendiri dalam diri.

Bijak mencari peluang

Sebagai mahasiswa yang minat dalam keusahawanan, mereka perlu bijak mencari pe­luang dan memanfaatkan setiap ruang yang ada. Kini di zaman teknologi yang pesat, ramai yang menggunakan laman sosial sebagai tempat berinteraksi dan bersosial di alam maya.

Jadi kenapa tidak untuk mahasiswa menjalankan perniagaan di dalam talian? Saya sendiri turut menjalankan perniagaan saya dengan nama Luarbiasa.Concept (LUBICO) melalui pemasaran facebook dan instagram.

Perniagaan kini bukan bermakna anda harus membuka kedai sendiri dan mempunyai modal yang besar. Hanya de­ngan teknologi internet yang sedia ada, mahasiswa dapat memasarkan perniagaan mereka.

Secara tak langsung, ini dapat membantu perniagaan mahasiswa lebih efektif tanpa mengganggu komitmen sebagai seorang pelajar.

Memanfaatkan Kemahiran dan Ilmu

Ramai meletakkan perspektif bahawa mahasiswa yang terlibat dengan perniagaan sejak dari zaman belajar pasti akan mensia-siakan kemahiran serta ilmu yang ada apabila menjadi usahawan.

Tetapi dalam hal ini, ramai yang silap kerana setiap ilmu itu tinggi nilainya dan pasti bermanfaat untuk apa perkara sekalipun.

Sebagai contoh, saya menjual vitamin C, produk penjagaan kulit iaitu Ruby Cellative®-white yang merupakan rangkaian produk daripada Elysian Beauty™ dengan kerjasama R&D RAHN, Switzerland dan Aijuice Dossier daripada Aifira Resouces.

Jadi sebelum saya menjual produk-produk tersebut saya sendiri perlu yakin tahap ke­selamatan, kualiti dan keberkesanan produk tersebut.

Berbekalkan ilmu yang saya ada sebagai seorang pelajar ijazah Biologi Sel Dan Molekul, saya dapat mengenal pasti produk-produk yang melalui kajian sains, lulus saringan ujian makmal dan yang mendapat kelulusan KKM.

Secara tak langsung mudah untuk saya faham istilah sains dan mengenal pasti produk yang bagus untuk kecantikan dan kesihatan.

Berniaga Mencari Keredhaan

Apabila menceburi bidang perniagaan, tidak mustahil mahasiswa akan mempunyai pendapatan ribuan ringgit sebulan.

Jadi mahasiswa perlu pandai menguruskan duit dan tidak lupa untuk mengeluarkan zakat dan membantu lebih ramai orang. Moga setiap pekerjaan yang kita lakukan atas dunia ini mendapat keredhaanNya.

 

Nurwafa Ezati Mohd Ehasan

Bacelor Sains Kepujian Biologi Sel dan Molekul,Tahun 3, Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul UPM.