Pengarah Urusan Sakamoto MFG Malaysia, Ichiro Tateno berkata, kilang berkenaan dibina susulan daripada perjanjian usahama yang dimeterai dengan syarikat tempatan, Azman Hamzah Plastik Sdn. Bhd. (AHP) tahun lalu. 


“Buat masa ini, kilang ini mampu mengeluarkan kira-kira 200,000 tangki minyak plastik setahun dan kami yakin dapat meningkatkan jumlah pengeluaran kepada 450,000 tangki setahun menerusi penambahan sebuah lagi mesin pembuatan tahun hadapan. 


“Kami juga sedang dalam perbincangan dengan beberapa pengeluar kenderaan di Malaysia untuk menyediakan tangki minyak ini selepas bekerjasama dengan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) ketika ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran Kilang Sakamoto MFG Malaysia di sini hari ini. 


Kilang berkenaan telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan. - UTUSAN ONLINE