KUALA LUMPUR 11 Feb. – Saham Utusan Melayu (Malaysia) Bhd. (UMMB) melonjak 100 peratus ketika ditutup petang ini kepada 23 sen sesaham, tertinggi sejak Ogos 2018 susulan pembelian 31.6 peratus pegangannya oleh syarikat Opulence Asia Sdn. Bhd. milik penuh Datuk Abd. Aziz Sheikh Fadzir daripada UMNO.
Ia menyaksikan peningkatan sebanyak 11.5 sen dengan 1,425,300 saham diniagakan melibatkan pasaran modal berjumlah RM25.47 juta.
Transaksi itu menyaksikan Aziz yang juga merupakan Pengerusi Eksekutif Utusan muncul pemegang saham terbesar setelah membeli 35 juta unit saham yang melibatkan kos keseluruhan RM6.65 juta.
Aziz pernah menyandang jawatan Pengerusi Eksekutif Utusan sejak Jun 2018 sebelum melepaskan jawatannya pada Disember 2018.
Sepanjang enam bulan tersebut, pelbagai langkah dan pelan transformasi telah dirancang dan penstrukturan semula syarikat Utusan sedang diusahakan termasuklah melaksanakan Skim Pemisahan Sukarela (VSS) melibatkan 700 pekerja.
Syarikat juga telah mengemukakan cadangan pertama pada skim penyusunan semula hutang kepada Jawatankuasa Penyusunan Semula Hutang Korporat pada 26 Oktober lalu.
Aziz, 56, kembali semula menerajui UMMB sebagai Pengerusi Eksekutif berkuat kuasa 31 Januari lalu.
Aziz menganggap pembelian saham ini merupakan satu cabaran bagi memastikan institusi keramat Melayu yang berusia 80 tahun itu dapat dibangunkan semula.