Ketua Pengarah Penyelidikan Malaysia RHB, Alexander Chia berkata, ia dapat dilihat daripada FBM Small Cap Index (FBM SCI) dan FBM Fledging Index (FBM FI) yang masing-masing menjana pulangan 11.1 dan 19.8 peratus.

Menurut beliau, pulangan dalam tempoh setahun antara April tahun lalu hingga bulan ini adalah lebih tinggi jika diban­dingkan dengan pulangan FBM KLCI untuk tempoh sama iaitu hanya 1.1 peratus.

“Selain asas lebih kecil, kami percaya prestasi kukuh syarikat-syarikat tersebut adalah hasil sema­ngat dan dorongan keusahawanan yang tinggi dalam pengurusan sekali gus menggalakkan inovasi dan kebijaksanaan.

“Saham dengan kedudukan tertinggi dalam tempoh itu ialah KESM Industries Bhd. (175 peratus), Johore Tin Bhd. (111 peratus), Elsoft Research Bhd. (93 peratus) dan Yong Tai Bhd. (80 peratus),” jelasnya pada pelancaran ASEAN 100 Jewels Small Cap Compendium di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Penyelidikan Indonesia RHB, Helmy Kristanto; Ketua Penyelidikan Singapura bank itu, Shekhar Jaiswal dan Ketua Penyelidikan Thailandnya, Kasamapon Hamnilrat.

RHB melancarkan buku edisi ke-13 ASEAN 100 Jewels Small Cap Compendium, RHB Top Cap 25 Jewels 2017 iaitu sebuah kompilasi merangkumi idea pelaburan saham daripada pasukan penyelidik institusi perbankan itu.

Siri buku ringkasan itu me­ngandungi perisikan perniagaan yang bernilai memenuhi permintaan perdagangan termasuk idea pelaburan baharu bagi empat buah pasaran iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand.

Sebanyak 25 syarikat dalam buku itu digariskan dengan saham modal paling besar ialah AirAsia X Bhd. sebanyak RM1.7 bilion, sementara saham modal paling kecil pula O&C Resources Bhd. dengan RM125 juta.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif RHB Investment Bank, Robert Huray ketika berucap berkata, buku itu akan meningkatkan portfolio dan asas perdagangan pelanggan dalam pelbagai pasaran terutama rantau ASEAN.