Pada 10.15 pagi, saham MMC susut 16 sen kepada RM1.19 dengan 1.25 juta saham didagangkan. Gamuda, yang aktiviti jualan singkat digantung oleh Bursa Malaysia hari ini, susut 64 sen kepada RM2.57, dengan 38.50 juta unit bertukar tangan.

Kenanga Research berkata pembatalan projek akan menjejaskan pendapatan MMC, dan oleh itu firma penyelidikan pesimis terhadap berita berkenaan.

“Kami menjangkakan sumbangan yang lebih besar daripada segmen kejuruteraan pada tahun kewangan 2018-2019, dengan keuntungan separuh pertama 2018 sebelum cukai kejuruteraan melonjak 79 peratus tahun ke tahun kepada RM152 juta, terutama didorong oleh sumbangan MRT,” katanya dalam nota hari ini.

Setakat ini, kumpulan itu telah menyiapkan 24 peratus kerja bahagian atas dan 33 peratus bahagian terowong, dan pembatalan ini akan memberi kesan daripada baki sumbangan yang masih ada dalam projek ini, yang menurut anggaran Kenanga Research keuntungan sebelum cukai tahunan sebanyak RM70 juta hingga RM100 juta .

Sementara itu, Maybank Kim Eng Research percaya perkembangan terkini itu akan menyebabkan keseluruhan penyiapan projek MRT2 tertangguhkan sekurang-kurangnya setengah tahun daripada anggaran asal pada menjelang pertengahan 2022, berikutan proses tender semula pakej kerja bawah tanah.

“Kami percaya keputusan MMC-Gamuda untuk meninggalkan kerja pakej bawah tanah disebabkan kehendak kerajaan supaya terlalu banyak kos dikurangkan,

sehingga boleh menimbulkan tanggungjawab risiko.

“Kami tidak pasti jika Gamuda akan mengambil bahagian dalam tender antarabangsa untuk menyiapkan baki pakej bawah tanah ini,” katanya.

Pada Ahad, kerajaan persekutuan melalui Kementerian Kewangan mengumumkan penamatan usaha sama MMC-Gamuda sebagai kontraktor utama untuk kerja-kerja terowong MRT2.

Usaha sama itu memperoleh kontrak pada 2016. Bagi baki 70 peratus kerja, kerajaan akan memanggil tender antarabangsa untuk mengambil bahagian dalam projek itu.

Selain itu, kos bahagian atas projek MRT2 dijangka diturunkan sebanyak RM5.22 bilion atau 23 peratus daripada kos asal kepada RM17.42 bilion melalui rundingan semula dengan MMC-Gamuda JV, rakan penyampaian projek berkenaan.- BERNAMA