Istilah penny ini jika diterjemahkan dalam bahasa pasaran saham ialah saham-saham yang harganya di bawah 20 sen. Dalam papan Bursa Malaysia terdapat banyak saham syarikat tersenarai yang harganya berada di dalam lingkungan ini. Contoh terbaik ialah pada saham-saham yang banyak terdapat di dalam pasaran ACE.

Ada juga kalangan pedagang runcit yang menggelar saham-saham ini sebagai kaunter cap ayam. Ia bermaksud saham-saham yang harganya terlalu murah tetapi dari segi asas fundamentalnya agak kurang kukuh jika dibandingkan dengan saham-saham berkaitan indeks.

Ramai juga kalangan pelabur dan pedagang runcit yang menjauhkan diri daripada membeli saham-saham cap ayam ini tetapi masih terdapat juga yang menggemari kaun­ter-kaunter ini kerana dengan sedikit kenaikan boleh memberikan hasil yang agak lumayan jika dibeli dalam kuantiti yang besar.

Malah, kaunter-kaunter ini selalu menjadi sasaran manipulasi harga yang menjurus kepada kenaikan harga yang luar biasa. Juga, kaunter-kaun­ter penny ini menjadi saham mampu beli bagi pedagang dan pelabur yang bermodal kecil serta yang baru melibatkan diri dalam pasaran saham.

Terdapat banyak saham penny yang telah mencipta sejarah kenaikan luar biasa. Satu daripadanya ialah Iris Corporation Berhad yang masih diingati oleh ramai pelabur dan pedagang saham hingga ke hari ini di mana kenaikannya yang luar biasa iaitu sebanyak 1,500 peratus dalam masa lapan bulan. Harga sebelum kenaikan hanyalah lapan sen.

Berbalik kepada topik yang kita bincangkan ini, adakah saham-saham penny ini sesuai untuk dibeli atau perlu dijauhi?

Sekali lagi saya ingin me­ng­ingatkan, di dalam proses untuk memilih saham-saham berpotensi naik, seseorang pelabur mahupun pedagang saham perlu ada ilmu dalam membuat pilihan saham apa yang ingin dibeli. Kedua, ilmu pemilihan tersebut sama ada menggunakan pendekatan analisis teknikal atau fundamental atau ke­dua-duanya sekali.

Dan ketiga, apakah matlamat pelaburan anda ke atas saham yang ingin dibeli itu?. Adakah ia hanya sekadar untuk transaksi jual beli dalam jangka masa singkat ataupun untuk pelaburan jangka masa panjang?.

Sekiranya kita telah me­netapkan prinsip dan matlamat, maka tiada salahnya kita membeli saham-saham ini se­perti mana kita membeli lain-lain saham syarikat yang tersenarai di papan Bursa Malaysia.

Satu perkara yang ingin saya kongsikan di ruangan ini ialah bagaimana sesuatu saham syarikat tersenarai itu boleh menjadi saham penny?

Untuk pengetahuan para pembaca, terdapat saham-saham syarikat tersenarai yang asalnya bukan terdiri dari kalangan saham-saham penny. Ia terjadi apabila syarikat me­ngalami kerugian demi kerugian yang berpanjangan. Oleh kerana kurang atau tiada minat belian di kalangan pelabur, maka harga tidak naik dalam satu tempoh yang lama di­sebabkan tiada berita-berita positif, mempunyai banyak kes tuntutan mahkamah, penyata kewangan syarikat yang bermasalah dan apa-apa perkara yang memberi impak negatif kepada syarikat tersebut.

Juga, syarikat yang me­ngalami kerugian tidak dapat memberikan pembayaran dividen kepada pemegang saham dan sudah tentu pelabur yang bijak tidak akan membeli saham syarikat tersenarai yang tiada pembayaran dividen tahunan untuk pelaburan jangka panjang.

Seperkara lagi, saham-saham bertanda atau yang di­klasi­fikasikan di bawah Practice Note atau PN 17 juga kebanyakannya berharga terlalu murah lebih-lebih lagi jika Bursa Malaysia telah mengisytiharkan sesuatu saham syarikat tersenarai bakal dinyahsenaraikan dari papan Bursa Malaysia. Justeru, pelabur dan pedagang saham perlu sentiasa dikemas kini dengan berita-berita serta pengumuman syarikat-syarikat tersenarai.

Sekiranya pelabur ingin mem­beli saham-saham yang mempunyai unsur-unsur spe­kulatif, kajian terperinci lebih-lebih lagi pengurusan risiko serta modal pelaburan yang mencukupi perlu ada serta tindakan yang pantas perlu diambil. Sebagai contoh, sekiranya harga saham yang dibeli itu naik terlalu drastik dan banyak, pengambilan untung perlu dibuat dengan sebaiknya sebelum pengisytiharan UMA atau aktiviti pasaran luar biasa dikenakan ke atas syarikat tersenarai yang sahamnya naik de­ngan drastik dalam waktu yang singkat.

Pengambilan untung perlu dibuat sekurang-kurangnya separuh daripada pegangan sedia ada dan sekiranya sesuatu pengumuman itu bersifat negatif, maka pelabur atau pe­dagang saham perlu bertindak pantas membuat keputusan tanpa berlengah-lengah kerana kadang-kala sedetik masa yang dibiarkan itu boleh mengakibatkan perubahan harga yang banyak.