Setakat 9.45 pagi, 3.97 juta saham diniagakan.

Public Investment Bank Bhd mengekalkan saranan ‘outperform’ ke atas syarikat itu dengan harga sasaran RM2.57.

“Secara terkumpul, prestasi bagi tempoh sembilan bulan tahun kewangan 2019 syarikat itu telah mengatasi jangkaan kami pada 96 peratus dan 92 peratus bagi jangkaan konsensus setahun penuh.

“Kami mengekalkan unjuran tidak berubah buat masa ini namun menjangkakan prestasi suku terakhir adalah rendah walaupun kami meletakkan prospek bahawa angka setahun penuh akan mengatasi unjuran,” menurut Public Investment dalam nota penyelidikan hari ini.

Sementara itu, RHB Research Institute Sdn Bhd mengekalkan saranan beli ke atas Bermaz dengan harga sasaran dinaikkan kepada RM2.90 daripada RM2.59.

“Pertumbuhan pendapatan bagi tahun kewangan 2020 akan dipacu oleh pengenalan model baharu seperti Mazda CX-30 baru-baru ini,” menurut RHB Research.

Kenanga Investment Bank Bhd pula mengulangi saranan ‘outperform’ bagi syarikat ini dengan harga sasaran lebih tinggi iaitu RM2.85 berbanding RM2.80 sebelum ini.

“Kami memberi perhatian ke atas firma ini atas peningkatan semula pendapatannya yang kukuh, disokong oleh margin ketara daripada Mazda CX-5 serba baharu, mengatasi prestasi dalam kumpulan setara industri di samping hasil dividen teguh.

“Bagaimanapun risiko ke atas saranan itu termasuk jumlah jualan kereta yang lebih rendah berbanding jangkaan serta pertukaran mata wang asing yang tidak menggalakkan,” menurut Kenanga. - BERNAMA