Rupiah jatuh serendah 15,009 berbanding dolar, yang terendah sejak krisis kewangan Asia pada Julai 1998. Mata wang berkenaan telah jatuh melebihi sembilan peratus untuk tahun ini.

Mata wang Indonesia terus jatuh walaupun Bank Indonesia telah campur tangan dalam pasaran kewangan dan menaikkan kadar faedah sebanyak lima kali sejak Mei untuk mengehadkan kejatuhan tersebut.

Sentimen terhadap aset negara Indonesia juga semakin buruk susulan kebimbangan defisit akaun semasa sekali gus mengakibatkan negara ber­kenaan terdedah kepada risiko kegawatan seperti yang menimpa Turki dan Argentina.

“Kelemahan rupiah adalah disebabkan sentimen lemah di sekitar pasaran baharu muncul serta kelemahan Indonesia itu sendiri,” kata Ahli Strategi Pasaran IG Asia Pte. di Singapura, Jingyi Pan kepada Bloomberg di sini hari ini.

Bank Indonesia telah mengumumkan pengenalan domestic non-deliverable forwards, yang dikatakan akan memberikan alternatif kepada perusahaan yang ingin melindung nilai dolar dan membantu mengurangkan ketidaktentuan rupiah.

Langkah itu dilihat sebagai melengkapkan langkah kerajaan untuk meningkatkan eksport dan mengurangkan import.

Indonesia hampir memuk­tamadkan insentif untuk peng­eksport yang menyimpan ber­bilion dolar di bank untuk menggalakkan mereka menukar dana kepada rupiah, memandangkan bank pusat itu sedang berusaha untuk melin­dungi mata wang tempatan dari­pada kegagalan pasaran global baru muncul. – AGENSI