Badlisham Ghazali
BADLISHAM GHAZALI

Pengarah Urusannya, Datuk Badlisham Ghazali berkata, pelaburan itu melibatkan infrastruktur, kemudahan, sistem dan peralatan bagi kemudahan 111,483.65 meter persegi keluasan lantai kasar (GFA) untuk menempatkan terminal kargo, pusat semakan, gudang dan pejabat operasi.

Katanya, DFTZ dijangka me­ningkatkan dua kali volum kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kepada 1.5 juta tan dalam tempoh 10 tahun akan datang.

“Selain KLIA Aeropolis DFTZ Park, MAHB mahu membangunkan satu lagi kemudahan kargo seluas 92,903 meter persegi GFA dalam tempoh tiga tahun.

“Kami juga sedang mencari peluang kerjasama dengan rakan strategik yang berpotensi untuk membangunkan gudang bernilai tinggi dan pusat semakan dengan berasaskan konsep bina dan pajak bagi memenuhi keperluan seperti logistik halal, barang-barang bernilai tinggi dan farmaseutikal.

“Untuk itu, kami akan be­kerjasama dengan Pasukan Khas Promosi Pelaburan DFTZ untuk menarik pelaburan daripada pemain industri e-dagang gergasi termasuk dalam sektor logistik,” katanya dalam sidang akhbar tentang perkembangan terkini DFTZ di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Datuk Yasmin Mahmood dan Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Ir. Dr. Mohd. Shahreen Zainooreen Madros.

Pelan Induk KLIA Aeropolis memberi fokus kepada tiga kluster utama dan satu daripadanya ialah Logistik dan Kargo Udara. MAHB melaksanakan pelbagai inisiatif dan bekerjasama dengan pemain industri untuk meletakkan KLIA Aeropolis sebagai hab e-dagang.

Ketika ini, hampir 20 daripada 25 penghantar fret (freight forwarders) utama dunia beroperasi di KLIA dan lebih daripada 60 peratus volum kargo semasa adalah daripada syarikat tempatan.

Menurut Badlisham, pemba­ngunan infrastruktur lain yang dirancang termasuklah zon koridor bebas komersial untuk memenuhi keperluan pertumbuhan pengembangan perniagaan, stesen fret bagi menyokong hubungan dengan pelabuhan dan mengguna pakai analisis data besar untuk mening­katkan kecekapan operasi.

Dalam pada itu, beliau berkata, keputusan MAHB untuk me­ngubah terminal penerbangan tambang murah (LCCT) kepada Terminal 1 Kargo Udara KLIA (KACT1) telah menyediakan kapasiti yang boleh mening­katkan trafik kargo.

Katanya, ini menjadi pemang­kin bagi Cainiao Network, sayap logistik bagi Alibaba Group untuk membentuk usaha sama dengan MAHB membangunkan KLIA Aeropolis DFTZ Park, iaitu platfrom dagangan e-dunia (eWTP) yang pertama di luar China.

“Ketika ini, kerja-kerja masih berjalan dan dijangka penyerahan tapak dibuat pada Ogos 2018 kepada syarikat usaha sama bagi pembangunan fasiliti. Kemudahan ini dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang 2020,” katanya.