Presiden Persatuan Pasaran Kewangan Malaysia, Datuk Lee Kok Kwan berkata, keadaan itu menandakan pelabur menunjukkan keyakinan berterusan kepada kerajaan Malaysia apabila pasaran kewangan dalam negeri kekal stabil dan teratur.

Katanya, asas ekonomi Malaysia kekal kukuh, disokong dengan lebihan akaun semasa, kedudukan rizab yang kukuh, hutang luar yang rendah dan permodalan sistem perbankan yang kukuh.

“Malah, ia juga terus berfungsi secara berkesan dan memudahkan aktiviti pengantaraan dalam kalangan peserta pasaran. Secara keseluruhan, sentimen dan reaksi pelabur adalah positif. Perantaraan kewangan pula tidak terganggu yang disokong oleh mudah tunai yang mencukupi di pasaran.

“Sehubungan itu, Jawatankuasa Pasaran Kewangan akan terus memantau segala perkembangan dan bekerjasama dengan peserta pasaran kewangan, antara lain termasuklah mengambil langkah proaktif bagi menangani sebarang ketidaktentuan yang mungkin timbul semasa proses peralihan bagi memastikan pasaran kewangan berfungsi secara teratur,” katanya.

Pasaran kewangan dalam ne­geri kekal aktif dan merekodkan dagangan purata harian melebihi AS$15 bilion (RM59.46 bilion) selepas PRU-14.

Pasaran domestik utama lain termasuk bon kerajaan, bon korporat dan pasaran wang terbukti kekal mendapat soko­ngan pelabur, apabila Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) tujuh tahun mencatat nisbah bidaan kepada perlindungan sebanyak 3.4 kali pada pembukaan semula, iaitu nisbah tertinggi pada 2018 setakat ini.

Sementara itu, menurut Affin Hwang Capital, risiko penarafan bagi kedaulatan Malaysia diturun­kan adalah kecil dengan mengambil kira kemungkinan agensi pe­narafan antarabangsa mempertimbangkan usaha kerajaan baharu dalam mengurangkan perbelanjaan operasi dan komitmennya terhadap pengukuhan fiskal.

“Pada pandangan kami, de­ngan trend global ketika ini yang merendahkan kadar cukai korporat dan meminimumkan tahap percukaian secara keseluruhan, terutama mengenai cukai langsung, persoalannya tanpa cukai barang dan perkhidmatan (GST) sebagai sumber alternatif pendapatan kerajaan, adakah cukai korporat akan diturunkan sebagai usaha untuk menarik pelaburan langsung asing,” katanya.