Menurut Standard Chartered Bank, unit mata wang tempatan itu disokong oleh penilaian yang menarik, sentimen yang semakin bertambah baik dan kurangnya pegangan kedudukan pelabur asing.

Katanya, dengan mengambil kira skala aliran keluar portfolio sejak tempoh empat tahun lalu, masih terdapat ruang untuk diperbaiki yang boleh menyokong pengukuhan ringgit.

“Buat masa ini, kami mengunjurkan ringgit hanya boleh kembali ke paras nilai saksama sekitar RM4.10 pada separuh pertama 2018, tetapi tidak menolak jika ia berlaku dengan lebih cepat.

“Walaupun pengukuhan ringgit mungkin mencerminkan ke­yakinan terhadap ekonomi di peringkat domestik, kami berpendapat Bank Negara Malaysia (BNM) akan membina semula ri­zab tukaran asing dengan lebih­ bersungguh-sungguh. Usaha membina semula rizab ini kemungkinan akan memperlahankan pe­ngukuhan ringgit,” katanya dalam nota kajian di sini hari ini.

Rizab pertukaran asing Malaysia kini berada pada paras terendah dalam tempoh 11 tahun selepas mengambil kira bank pusat dalam kedudukan pendek bersih AS$17.7 bilion (RM76.6 bi­lion), setakat akhir Mac 2017.

Pelabur asing merupakan pembeli bersih bagi ekuiti Malaysia untuk empat bulan berturut-turut, dengan aliran masuk bersih sebanyak AS$2.2 bilion (RM9.52 bilion).

Dalam masa sama, pelabur ­asing juga merupakan pembeli bersih bagi hutang Malaysia pada April.

Sentimen yang bertambah baik ini secara tidak langsung mencerminkan hasil daripada faktor do­mestik (yang membenarkan pelabur asing melindung nilai sehingga 100 peratus pendedahan ringgit tanpa bukti dalam bentuk dokumen) dan juga faktor global (aliran masuk secara berterusan dalam pasaran baharu muncul yang menyebabkan jangkauan penilaian di tempat lain).

Ringgit bagaimanapun di­niagakan lebih rendah kepada RM4.325 berbanding dolar AS dalam dagangan awal hari ini berbanding RM4.321 ketika ditutup semalam.

Sehingga petang ini, ringgit ditutup pada RM4.326 berbanding dolar AS.

Sementara itu, Naib Presiden Pembangunan Korporat dan Penyelidikan Pasaran FXTM, Jameel Ahmad berkata, data inflasi menunjukkan pemulihan secara beransur-ansur dalam ringgit yang telah mengurangkan tekanan inflasi, dan dilihat positif kepada ekonomi Malaysia.

“Penurunan dalam inflasi, yang sewajarnya diteruskan selagi ringgit beransur pulih akan mengangkat sebarang tekanan ke atas BNM dari segi dasar mo­netari,” katanya.

BNM selepas mesyuarat Jawatankuasa Dasar Motetari (MPC), minggu lalu mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada tiga peratus bagi merangsang pertumbuhan ekonomi negara secara mapan dalam persekitaran ekonomi global yang kekal tidak menentu.

Menurut BNM, secara keseluruhan­nya, kadar inflasi meningkat kepada 4.3 peratus pada suku pertama tahun ini selaras dengan jangkaan MPC, namun ia dijangka menurun pada separuh kedua tahun ini.