KUALA LUMPUR 15 Jun 2015 - PEMBENTANG kertas kerja ketiga, Ketua
Wan Kamaruzaman Wan Ahmad

Walaupun awal pagi ini ringgit dibuka pada RM4.0650, namun unit mata wang tempatan itu mencecah RM4.0470 dalam dagangan tengah hari semalam, iaitu paras terbaik yang pernah dicatatkan pada 29 Ogos 2016.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad, banyak faktor mendorong kepada prestasi ringgit yang semakin baik terutama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kukuh, aktiviti eksport masih berdaya saing dan ali­ran masuk duit yang merangsang pelaburan ke dalam negara.

“Ketika ini ringgit berada da­lam keadaan yang cukup baik, cuma ia akan berlegar pada paras RM4 sahaja atau mungkin me­ngukuh sedikit sekitar RM3.90 berbanding dolar AS.

Untuk satu tempoh, ringgit juga boleh mencecah nilai saksama pada RM3.80 hingga RM4 dan ini adalah paras yang berse­­­­su­aian.

“Bagaimanapun, saya melihat ada peluang untuk ringgit berlegar di bawah RM4 sekiranya disokong penunjuk ekonomi yang positif. Tetapi keadaan secara dasarnya sukar dijangka kerana pasaran masih lagi tidak menentu.

“Sekiranya boleh men­­cecah di bawah RM4, sudah tentu ini masa yang bagus untuk membuat pelaburan terutama di luar negara,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

KWAP sebelum ini dilaporkan mahu meningkatkan portfolio pelaburannya di luar negara sehingga 15 peratus berbanding 12 peratus ketika ini dan strategi peruntukan aset itu akan disemak semula mulai tahun depan.

Selain KWAP, Permodalan Nasional Berhad (PNB) juga menyuarakan hasrat yang sama tetapi masih menunggu masa yang sesuai dengan mengambil kira kedudukan ringgit. PNB setakat ini mempunyai dua peratus pelaburan di luar negara dan 98 peratus di dalam negara.

Ketika pasaran ditutup petang ini, ringgit berada pada paras RM4.071 berbanding dolar AS.

Dalam usaha me­ngukuhkan ringgit, Bank Negara Ma­­­­­laysia (BNM) de­ngan kerjasama Ja­wa­tan­kuasa Pasaran Ke­­wangan (FMC) setakat ini te­lah melaksanakan dua kali langkah libe­ralisasi iaitu pada Di­sember 2016 dan April 2017 yang merupakan sebahagian daripada inisia­tif mening­katkan kecairan dalam pasaran mata wang asing.

Sementara itu, firma penyelidikan, MIDF Research menjangkakan dagangan luar dan aktiviti industri bagi suku terakhir 2017 kekal kukuh di sebalik peningkatan harga komoditi dan momentum yang mantap bagi permintaan global.

“Berdasarkan IHS Markit, permintaan kukuh dari dalam dan luar negara akan menjadi kunci utama yang merangsang sektor pembuatan. Di sebalik tekanan inflasi, kami berpendapat peningkatan harga komoditi adalah rahmat bagi sektor pembuatan Malaysia terutama industri berasaskan petroleum,” jelasnya.

“Ini sekali gus akan mendorong kepada Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pengeluaran Nikkei melebihi 50 mata, bukan sahaja Malaysia tetapi Indonesia, AS, Kesatuan Eropah, China dan Jepun. Faktor ini juga yang mendorong pengukuhan ringgit awal minggu ini,” jelasnya.