Katanya, data ekonomi berkenaan termasuk jualan runcit bulanan, kadar pengangguran, pengeluaran pembinaan untuk suku kedua dan pengeluaran perindustrian pada Jun, yang mana akan dikeluarkan minggu depan.

Bagaimanapun katanya, sebarang keuntungan yang bermakna mungkin menerima ancaman dari faktor luaran.

"Dengan jangkaan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) yang lebih tinggi akan meningkatkan dolar serta meningkatkan aliran keluar modal daripada pasaran baharu muncul, prospek jangka pendek ke pertengahan ringgit tetap condong kepada penurunan.

"Jika dolar US berterusan meningkat, ringgit mungkin akan mencabar tahap 4.090 dalam masa terdekat," katanya kepada Bernama.

Untuk minggu yang baharu berakhir, ringgit susut ke paras yang tidak pernah dilihat sejak Disember sekitar 4.08, ditambah dengan dolar US yang semakin mengukuh, begitu juga peningkatan dalam ketegangan dagangan global.

Ancaman Presiden AS, Donald Trump, untuk mengenakan tarif 25 peratus terhadap US$200 bilion nilai import China hanya menimbulkan risiko yang akhirnya menjejaskan minat pelabur terhadap aset dan mata wang pasaran baharu muncul.

Perlu juga dijelaskan bahawa, ringgit tidak bersendirian kerana renminbi China, dolar Singapura dan banyak mata wang yang baharu muncul turut merasai bahangnya.

Asas Jumaat ke Jumaat, ringgit susut kepada 4.0800/0850 berbanding dolar AS daripada 4.0600/0650 pada Jumaat lepas.

Berbanding mata wang asing lain, ia juga susut berbanding dolar Singapura kepada 2.9770/9811 daripada 2.9763/9806, susut berbanding yen kepada 3.6523/6574 daripada 3.6508/6562 dan susut berbanding euro kepada 4.7222/7292 daripada 4.7193/7264.


Ringgit bagaimanapun, meningkat berbanding pound British kepada 5.3064/3146 daripada 5.3117/3199 pada minggu lepas.

Mata wang United Kingdom itu lemah selepas jawatankuasa dasar monetari Bank of England membuat keputusan meningkatkan kadar asas sebanyak 25 mata asas kepada 0.75 peratus, satu langkah yang dilihat tidak memberi kelebihan dalam kalangan pelabur. - BERNAMA