Dalam notanya, firma penyelidikan itu berkata, mata wang tempatan juga mendapat dorongan daripada pemulihan dalam sektor komoditi, dan apabila dasar pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (US) Donald Trump mula mengecewakan pasaran.

"Bagaimanapun, turun naik ringgit akan berterusan dalam tempoh terdekat disebabkan unjuran peningkatan kadar faedah US, pendedahan daripada pegangan asing instrumen pendapatan tetap dalam negara serta harga minyak yang tidak menentu," katanya.

Selepas mengukuh 1.8 peratus pada keseluruhan April, ringgit meningkat sebanyak 0.3 peratus lagi kepada RM4.3365 berbanding dolar US pada minggu pertama Mei.

RHB Research berkata, ringgit yang lebih kukuh pada April disebabkan dolar yang lemah, sebahagiannya disebabkan kekecewaan ke atas pelaksanaan dasar oleh Trump, risiko perpecahan di Zon Euro yang semakin reda selain peningkatan kemasukan dana asing ke dalam pasaran ekuiti Malaysia.

Rizab tukaran asing Malaysia meningkat US$700 juta kepada US$96.1 bilion pada 28 April berbanding US$95.4 bilion pada Mac disebabkan kemasukan dana asing, didorong oleh syarat Bank Negara Malaysia untuk mengubah 75 peratus keuntungan eksport kepada ringgit, dan usaha bank pusat itu dalam mengurus pengaliran keluar dana asing. - BERNAMA