Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Khairussaleh Ramli berkata, terdapat sebanyak 90,000 PKS dalam ekosistem bank berkenaan pada masa ini.

Menurutnya, e-penyelesaian RHB yang dipertingkatkan itu merupakan antara komponen ekosistem PKS RHB dan dilengkapi ciri-ciri nilai tambah menerusi satu platform tunggal termasuk penyepaduan aktiviti perbankan secara lancar.

“Memandangkan sistem perusahaan itu sukar dan menelan kos, RHB telah membangunkan ekosistem perbankan yang berhubung dan mempermudah aliran tunai serta pengurusan kewangan untuk pelanggan PKS kami,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran ekosistem perbankan PKS itu di sini, hari ini.

Perkhidmatan e-penyelesaian PKS RHB itu menawarkan aspek saling boleh kendali serba lengkap bagi meraih kecekapan perniagaan lebih baik dan merupakan hasil kerjasama pertama RHB dengan Financio, rakan penyelesai perniagaan yang menyediakan perisian perakaunan berasaskan pengkomputeran awan tanpa memerlukan pengendalian pelbagai sistem. - BERNAMA