Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Revenue, Eddie Ng Chee Siong berkata, daripada jumlah itu sebanyak 39.3 peratus atau RM8.10 juta akan diperuntukkan untuk perbelanjaan modal (capex) bagi membeli 9,000 unit terminal Electronic Data Capture (EDC) dengan keupayaan menerima pembayaran menggunakan Kod Maklum Balas Pantas (kod QR).

Katanya, pembelian terminal digital baharu berkenaan bakal menyokong pengembangan perniagaan Revenue di Malaysia.

“Kami merancang untuk menempatkan lebih banyak terminal EDC di kedai-kedai fizikal selaras dengan inisiatif Bank Negara Malaysia yang mahu meningkatkan lagi kaedah pembayaran tanpa tunai.

“Buat masa ini  pembelian EDC menggunakan peruntukan dalaman dan penyenaraian di pasaran ACE Bursa Malaysia Sekuriti Berhad pada 18 Julai depan memberi kami lebihan tunai untuk membeli terminal berkenaan,” katanya dalam majlis pelancaran prospektus Revenue di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE