Pengarah Eksekutifnya, Datuk KK Sihabutheen berkata, IPO itu bertujuan untuk mengumpul dana bagi mengembangkan lagi rangkaian perniagaan mereka khususnya bagi pembukaan restoran dan hotel baharu.


Tambah beliau, pihaknya berharap dapat mengumpul 30 peratus modal bagi tujuan pengembangan operasi tersebut menerusi tawaran IPO berkenaan yang disasarkan pada harga antara RM.80 hingga RM1.


Tambahnya, usaha ke arah penyenaraian awam IPO itu sedang berjalan dan pihaknya menjangkakan akan mengambil masa kira-kira 18 bulan dari sekarang sebelum dapat disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia.


“Kita berharap tawaran IPO ini mampu menyokong hasrat kita untuk membuka sekurang-kurangnya enam buah lagi rangkaian restoran nasi kandar dan beberapa buah hotel butik menjelang hujung 2021.


“Ini kerana kita memerlukan sekurang-kurangnya RM1 juta hingga RM2 juta bagi membuka sebuah restoran nasi kandar serta sehingga RM6 juta bagi membuka sebuah hotel butik bergantung kepada lokasi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Menurut Sihabutheen, sepanjang tahun ini pula, pihaknya menyasarkan mampu membuka tiga lagi restoran nasi kandar masing-masing di Johor, Melaka dan Nilai, Negeri Sembilan.


Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya juga merancang menceburi cabang perniagaan baharu dengan membuka sebuah sekolah swasta dengan model pendidikan United Kingdom (UK) di sini.


Kata beliau, pihaknya sudah mengenal pasti tapak tanah bagi pembinaan sekolah swasta itu di Seberang Perai di sini yang dijangka akan mula beroperasi dua tahun akan datang.


“Kita sedang mengenal pasti dan menjalankan perbincangan lanjut dengan pihak berkaitan dengan sasaran menempatkan seramai 20 hingga 25 pelajar tingkatan satu hingga tingkatan lima,” katanya.


Ketika ini, terdapat lebih 30 rangkaian restoran nasi kandar Pelita di seluruh negara selain di Chennai, India dengan purata pelanggan lebih 25 juta orang setahun. - UTUSAN ONLINE